NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muktamar PAS: Nasihat Presiden PAS kepada seluruh pimpinan dan ahli.

Saya ditanya oleh wartawan dalam satu temu bual pada bulan lalu mengenai Muktamar PAS, memandangkan tahun ini adalah tahun pemilihan dan nasihat saya kepada seluruh pimpinan dan ahli.

Saya jawab bahawa saya sempat bersama dengan generasi awal sejak zaman Dr. Hj Abbas Alias, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dalam tahun 1960-an, sehingga kini menyaksikan perkembangan yang sangat positif dalam PAS, di mana PAS semakin hari semakin baik, semakin hari semakin jernih.

Walaupun ada kehangatan, tetapi kehangatan yang tidak mengeruhkan hubungan antara satu sama lain. Ini sangat baik, kerana Allah membersihkan perjuangan kita dari semasa ke semasa melalui perjalanan perjuangan ini.

Apa yang penting adalah istiqamah kita dengan Islam, sama ada dari segi matlamat, dasar, akidah perjuangan dan akhlak-akhlak Islam perlu dijaga.

Kita boleh berbeza pendapat, tapi tidak boleh berpecah dan bergaduh. Kita sepatutnya bersatu dalam titik persamaan dan kita bermaafan dalam perbezaan, ini perlu kita amalkan.

Seruan saya juga bila kita berada dalam parti, bermakna kita berjemaah, kalau solat berjemaah kita mesti ikut imam. Kalau imam silap kita boleh tegur, selagi tak batal solat. Jangan tolak imam dan ambil alih imam kerana dia silap, itu satu benda yang salah dari segi solat jemaah.

Di mana berjemaah dalam parti ini lebih besar dan mencabar. Dengan sebab itu, kita kena sedar khususnya dalam politik Islam ini, ada perkara dasar yang kita tidak boleh pertikaikan, seperti asas perjuangan kita dan akidah. Ini tidak boleh kita berbeza dan bergaduh sama sekali, mesti berpegang teguh kepada Majlis Syura Ulama yang mengendalikan parti kita dengan sebaik-baiknya. Alhamdulillah.

Yang kedua, perkara yang berkaitan dengan 'mutaghayyirat' yang boleh berubah mengikut keadaan, situasi dan realiti. Ini perkara besar kerana berkait dengan strategi politik dan bagaimana kita hendak menangani isu-isu semasa. Ini perlu dibuat dengan cara yang bijaksana.

Memang kita tidak ada tokoh seperti Nabi Muhammad S.A.W. dan Khulafa' Rasyidin, tetapi kita boleh membentuk ketokohan secara berjemaah dan kolektif. Jadi bila sudah membuat satu keputusan jemaah, kita mesti patuh pada keputusan itu.

Saya menyaksikan bagaimana mereka yang istiqamah dengan keputusan parti walaupun mereka tidak setuju dalam pandangan-pandangan dia, tetapi bila parti buat keputusan, dia tetap patuh, tetap hadir dan bersama dengan parti, seperti Almarhum Ustaz Hassan Syukri dan lain-lain lagi.

Hatta bila dalam tahun pemilihan, sebagai contoh Dr. Hj. Abbas Alias, daripada Yang diPertua Agung PAS tidak dipilih dan menjadi ahli biasa, tetap terus hadir muktamar.

Ustaz Hassan Syukri pernah bertanding Timbalan Presiden, tetapi tidak dipilih. Kita lantik, dia terus tidak tinggal dan berkhidmat dengan Pejabat PAS, meneruskan tarbiah, kita semua tahu.

Ini contoh-contoh yang menarik dan kita kena sedar, di mana dalam perjuangan Islam ini kita perlu istiqamah hingga akhir hayat.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo