NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Adib beritahu dia dipukul, kata pakar IJN



SHAH ALAM: Anggota bomba yang maut, Muhammad Adib Mohd Kassim sempat memberitahu seorang kakitangan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur bahawa beliau dipukul.

Saksi ke-14, yang juga Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik IJN, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib memaklumkan perkara itu berdasarkan maklumat yang diberikan kakitangan IJN yang dikenali sebagai Asyraf, antara individu dalam pasukan khas yang memantau secara rapi perkembangan rawatan Adib.

Ezani berkata, Asyraf ada memberitahunya mengenai perkara itu beberapa hari selepas Adib meninggal dunia.

"Asyraf ada tanya sama ada dia (Adib) ingat apa terjadi dan dia angguk kepala," katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Faten Hadni Khairuddin pada hari ke-9 inkues kematian Adib di Mahkamah Koroner, Shah Alam.

Ezani berkata, beliau kemudian menasihati Asyraf berhubung dengan bahagian guaman IJN untuk langkah seterusnya.

Beliau juga berkata, sepanjang merawat Adib, beliau pernah bertanyakan anggota bomba itu sama ada dia ingat apa yang berlaku kepadanya.

"Bagaimanapun, pesakit (Adib) hanya menggelengkan kepala," katanya sambil menambah soalan sama pernah ditanya pegawai penyiasat.

Ezani memberitahu, Adib dipindahkan dengan berhati-hati dari Ramsay Sime Darby Subang Jaya Medical Center ke IJN pada sebelum tengah malam 27 November 2018.

Katanya, sebaik tiba di IJN, mangsa segera dikejarkan untuk menerima rawatan dengan Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO), mesin khas bagi menyokong paru-paru dan jantung mangsa.

"Keadaan dia ketika dibawa turun dari ambulans adalah sangat kritikal. Kami semua ingat dia akan mengalami serangan jantung. Jadi, pesakit dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Sebelum ini, pakar bedah kardiotoraks yang merawat Adib memberitahu Mahkamah Koroner, kecederaan parah dialami anggota bomba itu mungkin bukan berpunca daripada serangan.

Dr Anand Sachithanandan yang berkhidmat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) berkata, kecederaan pada dada kanan hingga bahu Adib akibat trauma tumpul pada dada yang mungkin berpunca daripada rempuhan, jatuh dari tempat tinggi, libasan atau serangan.

Ezani berkata pada hari ke-6 rawatan, beliau telah berkomunikasi dengan Adib.

"Adib tidak dapat bercakap kerana mempunyai tiup dalam mulutnya dan hanya berkomunikasi dengan bahasa isyarat dan menulis."

Katanya, pada waktu itu, keadaan Adib bertambah baik.

"Dia memberi maklumbalas ketika kami memanggil namanya dan boleh mengerakkan anggota badan.

"Dia menulis di papan putih dan mahu telefon bimbitnya," katanya.

Ezani berkata, keadaan kesihatan Adib kembali merosot pada 14 Disember apabila gagal mengekalkan tahap oksigen dalam badan.

"Pada 15 Disember, keadaannya semakin merosot dan kami perlu mengerakkan mesin ECMO untuk menstabilkan tahap oksigen dan tekanan darah. Sehari selepas itu keadaanya bertambah buruk," katanya.

Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo