NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tarif air: Kenapa rakyat pula perlu berkorban, soal Khalid




Bekas Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim mengecam tindakan seorang menteri Pakatan Harapan (PH) yang meminta rakyat mengasihani kerajaan berhubung keputusan menaikkan tarif air di negara ini.

Tegas Abdul Khalid, tindakan itu jelas memalukan terhadap PH yang dilihat sering kali melaungkan slogan kepedulian rakyat.

"Jika berita itu benar, ia agak memalukan apatah lagi kerajaan PH yang sentiasa melaungkan slogan kepedulian rakyat.

"Memang benar, anggota politik hendaklah pandai bercakap dan mengkritik tetapi kebolehan itu sahaja tidak cukup untuk mengurus sumber ekonomi dengan bijak," kata Abdul Khalid menerusi hantaran yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya, lewat petang tadi.

Abdul Khalid berkata demikian merujuk kenyataan Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar bahawa rakyat perlu melihat keputusan menaikkan tarif air sebagai satu tanggungjawab dan mereka wajar menunjukkan rasa belas kasihan kepada kerajaan.

Menurut Xavier, ini kerana kos utiliti air yang ditanggung kini adalah sangat tinggi dan semua itu menggunakan peruntukan kerajaan selain menegaskan caj tarif air Malaysia masih merupakan antara yang paling terendah di rantau Asia Tenggara.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata negara tidak hanya memerlukan pemimpin yang bijak berkata-kata sebaliknya memerlukan komitmen yang tinggi dalam memastikan kehidupan rakyat dapat dibela.

Malah, kata Abdul Khalid kerajaan yang jujur akan meletakkan kepentingan rakyat dari awal perancangan dan bukannya hanya mengikut rentak dan telunjuk ahli korporat.

"Namun, jika ahli politik memilih untuk mengambil langkah sumbang, mengapa rakyat pula yang perlu berkorban dan bergolok bergadai? soal Abdul Khalid.

"Tanggungjawab tersebut memerlukan pemahaman serta komitmen untuk mengambil langkah-langkah bijak bagi memastikan rakyat mendapat pulangan terbaik," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo