NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Implikasi peletakan jawatan Yang di-Pertuang Agong Ke-15

oleh: Tan Sri Dr. Rais Yatim

YANG di-Pertuan Agong (YDA) Ke-15, Tuanku Muhamad V baru sahaja meletakkan jawatan seperti mana disahkan oleh Dato’ Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara tanggal 6 Januari 2019.

Peristiwa ini tidak pernah berlaku sebelum ini justeru ia boleh dianggap sebagai suatu letusan dalam sejarah Diraja negara ini.

Baginda meletakkan jawatan selaras dengan Per. 32(3) Perlembagaan Persekutuan (PP) yang memperuntukkan bahawa YDA boleh berhenti sebagai YDA dengan syarat Baginda mengutus surat sedemikian tujuannya kepada Majlis Raja-Raja.

Artikel 32 juga memperuntukkan Majlis Raja-Raja yang dibentuk dibawah Per 38 PP boleh memberhentikan seseorang YDA atau atas alasan YDA itu tidak lagi menjadi raja.

Cuma PP tidak memperuntukkan apakah kriteria atau syarat-syarat yang dikenakan sebelum seseorang YDA itu dilucutkan jawatannya.

Sekali gus peristiwa ‘letak jawatan’ diRaja ini merupakan suatu gegaran yang bukan sahaja menguji institusi Raja di Negara ini tetapi juga sistem Raja Berperlembagaan yang dianut selama ini di Malaysia.

Mujurlah, dengan peletakkan jawatan itu institusi Yang di-Pertuan Agong itu sendiri terselamat daripada berbagai-bagai spekulasi negatif yang tidak berhemah.

Ada di antara spekulasi menular media sosial yang memutarbelit aneka rumusan dan pendapat yang pada keseluruhannya menipiskan lagi kewibawaan institusi raja di negara kita.

YDA adalah ciptaan kuasa politik raja-raja Melayu dengan bimbingan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman setelah menerima syor no. 58(5) Laporan Suruhanjaya Perlembagaan Reid 1957. 

Peruntukan Utama dan pokok darihal YDA bermula dari Per 32 hingga ke Per 42 PP.

Antara fungsi dan kuasa Baginda ialah:

* Pemerintah Utama bagi Malaysia (Per.32) tetapi urusan pentadbiran negara dilakukan oleh Kabinet.

* Berkuasa melantik Perdana Menteri yang mengikut pendapatnya beroleh sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat (Per.43)(2)(a).

* Mesti bertindak dalam kebanyakan perkara pentadbiran negara mengikut nasihat Perdana Menteri atau Kabinet (Per. 40)

* Berkuasa mengampunkan apa-apa kesalahan jenayah yang dipohon sebagai rayuan melalui saluran tertentu ( Per.42).

* Menjadi Ketua Turus Angkatan Pertanan Bersenjata Negara.

* Membuat arahan tentang hak-hak keistimewaan Melayu-Bumiputra dan hak-hak asas sah lain-lain komuniti (Per.153)

* Sebagai salah satu komponen utama dalam persidangan Majlis Raja-Raja (MRR Per. 38) tetapi sentiasa tertakluk kepada keputusan MRR.

* YDA dan juga mana-mana raja bertakhta boleh disabitkan kesalahan apa-apa jenayah yang disabitkan ke atas dirinya di Mahkamah Khas jika Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya bersetuju berbuat sedemikian.

Ini hasil pindaan Perlembagaan 1993/94.

Perkataan YDA disebut lebih 450 kali dalam PP – lebih daripada apa-apa istilah atau institusi yang lain. Ini menandakan betapa pentingnya YDA dalam pentadbiran dan keutuhan Negara Malaysia.

Di sinilah letaknya imbasan “Ketuanan”. Dengan peletakan jawatan oleh Tuanku Muhamad V itu bermakna MRR telah mempertimbangkan asas-asas peletakan jawatan berkenaan yang semestinya menyentuh hal-hal peribadi dan rekod kerja YDA yang berada dalam pengetahuan awam dan media.

Keberadaan baginda yang kerap di luar negara, perkahwinan di luar negara, hal-hal pentadbiran negara yang kurang atau tidak dapat disempurnakan merupakan kebarangkalian yang sudah tidak dapat diletakkan lagi di bawah tajuk ‘sulit dan persendirian’.

Memang boleh dianggap bahawa isu yang dipertimbangkan oleh MRR itu tergolong kepada hal-hal yang rumit dan berat belaka.

Melalui mesyuarat MRR yang kandungan prosidingnya bersifat Rahsia Besar kelmarin dan pada hari-hari berikutnya, barangkali negara telah terselamat dari satu babak yang amat menyulitkan.

Dengan selesainya bab peletakan jawatan YDA ke-15 itu, isu yang timbul ialah siapa akan jadi YDA selepas ini? Jika mengikut aturan giliran di bawah Jadual 3 PP, Sultan Pahang masuk dalam giliran selepas Kelantan.

Jika Sultan Pahang tiada kemampuan atas alasan kesihatan, giliran jatuh kepada Johor. Jika Johor menolak maka giliran sampai kepada Perak yang rajanya, Tuanku Nazrin kini bersemayam sebagai Timbalan YDA.

Jelas bahawa Jadual 3 amat mengikat MRR dalam hal-ehwal memilih YDA baru. Tidaklah jelas dari bahasa Per. 38 dan Jadual 3 PP samada MRR berkuasa penuh memilih Raja yang secara utama diperkenan tanpa mengikut giliran.

Ini adalah kerana sistem undi yang disebut dalam Jadual 3(1) ceraian (2) mewajibkan sekurang-kurangnya 5 orang Raja untuk menjadikan pemilihan YDA itu sah melalui undi sulit. Tetapi tiada pula peruntukan yang mengatakan bahawa seksyen 4 Jadual 3 tidak semestinya dipatuhi 100%.

Ikut manapun, YDA Malaysia mendatang mesti terdiri dari seorang Raja yang komited dengan tuntutan Perlembagaan Persekutuan, berjiwa suai-manfaat dan meneruskan tradisi Raja Berperlembagaan terus-menerus.


Tan Sri Dr. Rais Yatim ialah lulusan Ph.D (Jurusan Undang-undang Pentadbiran dan Perlembagaan - Universiti London)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo