NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

IPD Hulu Terengganu cipta bot amfibia


Orang ramai menyaksikan demonstrasi menyelamat bot 'Amfibia Qber' inovasi oleh Polis Daerah Hulu Terengganu pada pelancarannya di Kampung Dusun, Kuala Berang, hari ini. - UTUSAN ONLINE/AZLAN BAHRUM


05 Disember 2018 8:30 PM

HULU TERENGGANU 5 Dis. - Sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu di sini berjaya menghasilkan bot amfibia pertamanya bagi mengangkut dan menyelamatkan mangsa-mangsa banjir.

Inovasi yang dicetuskan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud dengan hanya menggunakan barangan terpakai itu turut melakar sejarah sebagai kenderaan dua alam pertama yang diperkenalkan dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, bot yang dikenali sebagai Amfibia Qber itu turut akan berfungsi sebagai pusat operasi dan balai polis bergerak di samping melakukan kerja-kerja pemantauan di rumah mangsa banjir.

"Kerja-kerja penghasilan bot bermula pada 1 November lalu dan berjaya disiapkan dalam tempoh sebulan menggunakan barangan terpakai seperti enjin motosikal Honda EX5 terpakai dengan kos keseluruhan RM11,500.

"Diharap dengan inovasi yang dirintis IPD Hulu Terengganu ini dapat membantu PDRM dalam memberi perkhidmatan semasa musim banjir terutama di daerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan bot amfibia IPD Hulu Terengganu di jeti Dataran Sungai Kampung Dusun, Kuala Berang, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Azizan Abu Taat dan Mohd. Adli.

Amfibia Qber yang seberat 1.2 tan boleh digerakkan dengan kelajuan sehingga 20 kilometer sejam di daratan manakala antara tujuh dan lapan knot di dalam air.

Menurut Aidi, inovasi tersebut tercetus bagi mengatasi masalah laluan utama di daerah ini yang sering ditenggelami banjir sehingga menyukarkan proses penyelamatan mangsa dan penghantaran bantuan setiap kali musim tengkujuh.

Katanya, Amfibia Qber mampu memuatkan lapan hingga 10 penumpang bagi perjalanan di dalam air pada satu-satu masa. - UTUSAN ONLINE


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo