NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

TASKA di semua jabatan, agensi awal tahun depan



KUALA LUMPUR: Menjelang Januari tahun depan, semua agensi dan jabatan kerajaan digalakkan mewujudkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di tempat kerja masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keutamaan diberikan kepada agensi kerajaan yang mempunyai kerja syif.

Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga ingin bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan supaya TASKA dapat diwujudkan di sekolah untuk kemudahan guru.

"Bagi sektor awam, subsidi yuran pengasuhan TASKA di tempat kerja sebanyak RM180 sebulan bagi seorang anak kepada pegawai perkhidmatan awam yang pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan disediakan berdasarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 38 Tahun 2013.

"Bagi sektor swasta pula, insentif pelepasan cukai boleh dituntut dari kerajaan mengikut pekeliling Jabatan Hasil Dalam Negeri bertarikh 15 Februari 1996 yang mana pengecualian cukai 10 peratus selama 10 tahun untuk ubah suai dan penyenggaraan bangunan bagi penyediaan TASKA, " katanya.

Timbalan Perdana Menteri menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) di Dewan Rakyat hari ini.

Siti Zailah mahu mengetahui mengenai langkah mengawal selia pusat asuhan kanak-kanak termasuk di rumah persendirian supaya tragedi penderaan tidak berulang.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, selain itu kementerian menganjurkan Bengkel Pindaan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak (Akta 308) yang diadakan pada 11 Julai 2018 bagi memantapkan kawal selia TASKA di seluruh negara.

Katanya, bagi memastikan tahap penyampaian perkhidmatan taman asuhan yang dikendalikan oleh pengusaha berada di tahap keselamatan yang tinggi, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengumpul notifikasi pengasuh di rumah bagi individu yang mengasuh kanak-kanak kurang daripada empat orang yang berusia empat tahun ke bawah.

Selain itu, katanya JKM membimbing pengasuh dan memberi maklumat mengenai Kursus Asuhan PERMATA dan program, seminar dan taklimat berkaitan pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak melalui 42 agensi latihan yang diiktiraf oleh JKM.

"Usaha ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pengasuh dalam bidang berkenaan.

"Mengadakan pelbagai program untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan ibu bapa mengenai kepentingan dan kelebihan menghantar anak ke TASKA yang berdaftar dengan JKM.

"Contohnya Program Jom Daftar dan membuka kaunter maklumatpameran dalam program-program yang dianjurkan oleh Jabatan dan agensi kerajaan yang lain" katanya.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, bagi memastikan isu itu dapat ditangani dengan lebih menyeluruh, satu Jawatankuasa Khas diwujudkan bagi membolehkan satu piawaian kompetensi untuk diguna pakai oleh pengasuh kanak-kanak yang merangkumi aspek keselamatan, latihan dan kemahiran asas yang diperlukan oleh seorang pengasuh.

Jawatankuasa itu juga katanya bagi mengawal selia keperluan untuk mewajibkan pengasuh kanak-kanak mendaftar dengan JKM.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga bekerjasama dengan agensi perundangan untuk memastikan dan memperkukuhkan bukti pendakwaan bagi prosiding mahkamah yang membabitkan kes kesalahan pengasuhkanak-kanak.

"Dalam masa yang sama jawatankuasa itu mengkaji kos yang terbabit dalam pengurusan pengasuhan kanak-kanak," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo