NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MyCare, Dr Afandi rayu semua pihak gesa Israel bebaskan peserta misi JFP



Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menggunakan peruntukan yang ada bagi menjamin keselamatan anak kapal Al-Awda yang telah ditawan oleh tentera Israel.
Pengerusinya, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, tindakan Israel merampas dan menculik anak kapal Al-Awda di perairan antarabangsa adalah mencabul kehormatan undang-undang maritim.

Katanya, Israel tidak berhak menahan kapal Al-Awda daripada belayar di perairan antarabangsa dan tindakan menghalang masuk ke Gaza serta menyekat semua akses luar bertentangan dengan Konvensyen Geneva Keempat yang menegah hukuman kolektif ke atas mana-mana komuniti.

"Tindakan merampas dan membawa anak kapal masuk ke Israel secara paksa adalah satu rompakan dan penculikan, malah mereka tidak berhak melayan anak kapal seperti penjenayah.

"Kapal Al-Awda belayar secara aman tanpa provokasi, tidak membawa senjata dan hanya membawa mesej solidariti serta sedikit bantuan perubatan. Justeru tindakan Israel ini tidak ubah seperti lanun, " katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media, di pejabat MyCARE, hari ini.

Kapal Al-Awda membawa 22 orang aktivis kemanusiaan daripada 16 buah negara termasuk wakil tunggal Malaysia, Prof. Madya Dr Mohd Afandi Salleh.

Kapal berkenaan dipercayai telah ditawan oleh tentera Israel kerana Al-Awda telah dihubungi oleh tentera laut Israel pada jam 5.40 petang dan diberi amaran bahawa mereka akan mengambil segala tindakan yang perlu untuk menghentikan pelayaran Al-Awda.

Al-Awda juga sempat melaporkan kehadiran 4 buah kapal tentera laut Israel sebelum komunikasi terputus.

Kapal Al-Awda sudah belayar sejak 22 Mei lalu bermula dari Copenhagen, Denmark dengan misi 'Just Future for Palestine 2018' membawa penyertaan 13 orang rakyat Malaysia secara bergilir-gilir. Ia mempunyai tujuan kemanusiaan dengan menghantar 116 kotak bekalan ubatan bernilai hampir RM62,000 disebabkan keadaan yang begitu kritikal.

Misi ini juga bertujuan membebaskan Gaza daripada sekatan zalim Israel yang berlanjutan lebih daripada 12 tahun.

Dr Mohd Afandi, yang merupakan wakil tunggal Malaysia, dalam sebuah video berdurasi 43 saat memohon semua pihak untuk terus mendesak Israel supaya membebaskan semua peserta misi 'Just Future for Palestine' #JFP

Hafidzi berkata, MyCARE sudah menghubungi dan memaklumkan kepada Wisma Putra supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

"MyCARE dengan bantuan Freedom Flotilla Coalition (FFC) juga sudah mengaktifkan komunikasi dengan pasukan peguam bagi membantu pembebasan Mohd Affandi. Peguam yang akan menguruskannya ialah Gaby Larsky iaitu peguam sama yang menguruskan pembebasan remaja Palestin semalam," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo