NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jakim masih diperlukan – Mufti P.Pinang


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) masih diperlukan pada waktu ini bagi menyelaraskan isu berkaitan agama di peringkat nasional, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor.

Namun beliau berkata JAKIM perlu mengelakkan diri daripada dijadikan alat politik pihak tertentu.

"Saya ingat masih lagi perlu untuk selaras pandangan mufti dan isu bersifat nasional, kalau negeri kita serah kepada negeri.

"Tetapi, kalau Jakim melampaui fungsi yang sepatutnya, kempen kepada politik, saya tak sokonglah," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam perkembangan lain ketika diminta mengulas mengenai perbezaan pandangan mazhab untuk menyelesaikan masalah, Wan Salim berkata Malaysia perlu lebih terbuka untuk menerima pandangan mazhab lain selain mazhab Shafie.

Menurut beliau, tiada larangan memanfaatkan pandangan mazhab lain dalam aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah walaupun kebanyakan umat Islam di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia dan Selatan Thailand mengikuti mazhab Shafie.

"Pengasasnya bukan nak buat mazhab pada asalnya, dia hanya mengajar, selepas itu makin ramai pelajar dan membahagikan mazhab.

"Kita boleh, sebab kita tidak boleh yakin kebenaran itu di dalam mazhab kita sahaja, mungkin ada di mana-mana," katanya.

Terdapat empat mazhab fiqah dalam aliran Sunnah Wal Jamaah, iaitu Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan,Tun Daim Zainuddin meminta penjelasannya berhubung jenis mazhab dan adakah umat Islam boleh menukar mazhab serta jangan terlalu fanatik dengan mazhab.

Beliau percaya Islam perlu memberi penyelesaian kepada semua isu kemanusiaan dan ada kalanya mazhab lain mempunyai jalan penyelesaiannya.

"Jika kita ibadat, solat dan puasa itu okeylah ikut Shafie, tetapi isu kepada muamalat atau transaksi sosial kena berani merentasi mazhab-mazhab.

"Tidak boleh terhad hanya dengan mazhab kita. Ini untuk menyesuaikan ajaran Islam dengan perkembangan zaman.

Wartawan Watan-Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo