NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ekonomi: Kegagalan PH Memalukan – Nasruddin Hassan



Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya merasa bersalah dengan ketidakupayaan memulihkan ekonomi negara dan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat sepanjang 60 hari memerintah negara, ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

"Bermula dengan manipulasi hutang RM1 trilion, tidak mengurangkan kadar tol, tidak mengurangkan harga petrol, menaikkan tarif elektrik bukan domestik, melakukan u-turn pembayaran PTPTN, melakukan u-turn projek mega ECRL dan LRT3 dan yang terbaru memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10% dan 6%.

"Pakej kegagalan ini secara langsung telah membebankan rakyat kebanyakan khususnya golongan M40 dan B40.

"Pakatan Harapan telah mengkhianati manifesto sendiri dan menipu majoriti rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Nasruddin berkata PH seolah-olah ketandusan idea untuk membina semula ekonomi negara sehingga pemerintahan baharu kini dilihat tidak jauh berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Berbeza dengan PAS, Nasrudin berkata parti itu mengambil pendirian konsisten untuk menolak pelaksanaan cukai SST mahupun GST semenjak sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

"PAS mempunyai tawaran lebih baik untuk diperkenalkan kepada rakyat. PAS bercadang untuk mengenakan Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Pegangan Saham hanya sebanyak 2.5% sahaja. Itu pun kedua-dua cadangan cukai ini tidak membebankan rakyat amnya yang terdiri dalam kalangan M40 dan B40 kerana ia bukan cukai kepenggunaan.

"Malah diunjurkan sekiranya kedua-dua cukai ini dilaksanakan, kerajaan boleh memperoleh sekitar RM40 hingga RM50 bilion setahun iaitu jumlah yang lebih tinggi daripada kutipan GST dan SST serta tidak meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada pendapatan hasil petroleum negara," katanya. - Wartawan Watan-Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo