NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu: Peruntukan DUN Ikut Keperluan

Oleh KAM

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu yang baharu selepas pasca PRU14 akan berlaku adil kepada semua rakyat termasuk peruntukan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili pembangkang.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berdasarkan kedudukan semasa kewangan negeri 'adjustment' perlu dilakukan mengikut keutamaan rakyat.

Ini kerana, katanya kerajaan mahu melihat semua rakyat Terengganu dapat menikmati apa juga bantuan dan peruntukan.

"Saya menjelaskan tentang kedudukan kewangan terkini, setelah kita menerima peruntukan Bajet 2018, tentulah setiap bulan, setiap waktu kita kena buat 'adjustment' (penyesuaian) melihat kepada kedudukan kewangan dan kita utamakan mana-mana yang perlu terlebih dahulu.

"Istilah 'Catuan' itu sebenarnya bukan catu tapi kita menilai kembali dari segi keperluan. Kita mahu semua rakyat Terengganu menikmati apa juga bantuan dan peruntukan dalam pelbagai sektor kepada seluruh rakyat negeri (Terengganu)," jelasnya.



Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan media ketika menghadiri Rumah Terbuka Adun Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar di Dewan Sivik Pasir Panjang, Kuala Terengganu, hari ini.

Pada Majlis Anak-Anak Terengganu di Perantauan, 16 Jun lalu, Menteri Besar Terengganu itu mendakwa peruntukan sebanyak RM4 juta bagi setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) melalui Bajet 2018 telah habis dibelanjakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu sebelum PRU14 lalu.

Sehubungan itu, kata Dr Ahmad Samsuri, kerajaan negeri tidak akan meminggirkan kawasan pembangkang dan mempertimbangkan apa jua keperluan terdesak rakyat.

"Peruntukan itu bergantung kepada apa yang kita sediakan. Bantuan pembaikian rumah ada jumlah-jumlah tertentu berbanding dengan keperluan lain. Contohnya, ada rumah rakyat yang perlu dibaiki, kita (kerajaan) masih ada peruntukan untuk kegunaan rakyat.

"Kita akan pastikan keperluan rakyat tidak terjejas dan kita masih ada masa enam bulan lagi, sekarang ini (bulan) Jun ada masa lagi hingga Disember," ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan negeri dalam tempoh 30 hari ini masih dalam penyusunan semula bagi melancarkan pentadbirannya.

Sementara itu, kata Dr Ahmad Samsuri berkaitan, peruntukan RM100,000 dari kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) kepada Ahli Parlimen pembangkang itu diau-alukan.

"Kita secara umumnya mengalu-alukan kerana ini pendirian yang positif untuk kegunaan rakyat. Kita mengharapkan sebagaimana yang dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Negara bahawa peruntukan lain akan diberi kepada negeri, Insya'Allah.

"Pengumuman oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir) bahawa setiap wakil rakyat yang bukan dari Pakatan Harapan diperuntukan sebanyak RM100,000 dan wakil rakyat PH sebanyak RM500,000.

"Mekanisma bagaimana perbelanjaan itu belum lagi diperincikan kerana saya bertanyakan dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan di bawah kerajaan pusat, mereka mengatakan masih belum mendapat pendetailan mekanisma perbelanjaan.

"Bagaimana cara untuk dibelanjakan, untuk kegunaan apa, cara bagaimana itu akan diperincikan di peringkat Perbendaharaan bersama Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)," jelasnya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo