NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mampukah Zahid kemudi Umno?

Oleh: DATUK ALEXANDER NOOR 


Ada yang beranggapan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mampu mengemudi Umno sebagai presiden parti. Keraguan timbul kerana beliau kononnya telah gagal melaksanakan pembaharuan dan memenangkan Umno dan BN pard PRU ke-14.

Ada yang mahu beliau dipertanggungjawabkan dan berundur dari kerusi yang disandangnya.

Pandangan siapakah itu? Lawan atau pesaing? Jika lawan pasti mahu melemahkan Umno termasuklah mencanaikan orang muda lebih layak atau pesaing pula untuk melonjakkan diri.

Tetapi umumnya juga menyedari bahawa parti-parti lain seperti PAS, DAP dan PKR telah beberapa kali juga kalah, malah lebih banyak kalah dari menang. Namun tidak pernah kedengaran desakan meminta Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang mahu pun Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berundur.



Tetapi kali ini, ahli parti mahu pun mereka di luar Umno galak meminta presiden dan barisan kepimpinannya untuk berundur.

Islah dan tajdid bukan bermaksud begitu. Pembaharuan adalah kepada agenda perjuangannya, tidak semesti sosok tubuh ketuanya. Namun begitu, Datuk Seri Najib Razak berjiwa besar dan mengambil tanggungjawab dengan melepaskan kerusi nombor satu parti.

Walau pada hakikatnya, ramai juga yang mahukan Najib berundur sebelum PRU lagi, namun hajat tidak kesampaian.

Musuh memang mahukan pemimpin-pemimpin utama atau 'heavyweight' Umno berundur. Agar mudah diganyang dan dihancur-leburkan Umno ini.

Umno tidak pernah ketandusan pemimpin, lantaran program perkaderannya mampu menyediakan pemimpin pelapis.



Namun yang ironinya, ada yang terkinja-kinja bagaikan beruk kena belacan mahukan Zahid berundur. Hingga ada yang jarang-jarang hadir perhimpunan agung Umno pun menyatakan hal yang sama.

Tidak kurang pemimpin yang selama ini bergayut nasib dengan Zahid pun, berani mencabar mentornya.

Dunia oh dunia!

Memang manusia itu sering menzalimi dirinya sendiri. Zahid seringkali mengingatkan ahli-ahli parti agar mengukur baju di badan sendiri sebelum menawarkan diri untuk bertanding mana-mana jawatan. Namun peringatan ini dipandang sepi.

Malah kesediaan Zahid dan Majlis Tertinggi yang membuka semua jawatan untuk dipertandingkan sudah cukup untuk menggambarkan kesediaan pimpinan parti untuk memulakan pembaharuan yang lebih drastik dan signifikan.

Sedangkan, ketetapan dan usul yang dibawa oleh setiausaha Pemuda pada perhimpunan agung Umno yang lalu agar jawatan nombor satu dan dua parti tidak dipertanding telah pun diterima dan dipersetujui oleh perwakilan dan MT.

Zahid boleh saja meneruskan ketetapan ini kerana keabsahannya telah ditentukan. Namun beliau benar-benar mahukan Umno pulih dan bangkit dengan segera, di mana demokrasi disuburkan di dalam parti.

Kini, barisan pemuda dalam kelesuannya menambat hati orang muda, berpaling tadah dan bekas ketua pemudanya pula menawarkan diri mencabar Zahid. Bila ditanya kenapa mahu bertanding?

Jawab si fulan, sebab ada desakan yang kuat mahukan calon muda untuk bertanding. Kegilaan apakah ini? Kamu bertanding hanya kerana desakan, bukannya kerana kamu mampu menawarkan agenda perubahan bagi memulihkan Umno!

Umno meraikan keterbukaan, tetapi tidak bermaksud sesiapa saja boleh mengabaikan adab dan tatasusila yang menjadi pegangan ahli parti selama ini.

Zahid diwar-warkan sebagai tidak lagi popular dan popularitinya semakin merudum. Ada orang kata betul. Itu pun kalau menggunakan 'data analytics' yang hanya mengukur jumlah 'hit' berdasarkan 'meta data' semata-mata.

Realitinya, Zahid menghabiskan banyak masanya bertemu pemimpin akar umbi di seluruh negara bagi menenangkan ahli parti yang trauma dilanda kesedihan.

Bagi penulis, tidak banyak sidang media yang dibuat kerana Zahid bukan mahukan publisiti, tetapi Zahid punya agenda yang jauh lebih besar.

Rumah agam Umno hampir dimusnahkan, masanya untuk memulih dan mengukuhkan pasak dan tiang serinya. Bukan meraih publisiti murahan atau melolong tidak tentu arah.

Bagi yang mengenali Zahid sejak dari awal kerjaya politiknya, umumnya kenal benar hati budi Zahid, sorang pemimpin akar umbi. Beliau bukan pemimpin empat musim, mahupun menaiki tangga sehingga ke kerusi nombor dua hanya dengan desakan dan suruhan orang semata-mata.

Beliau telah berkhidmat di bawah beberapa perdana menteri, sesungguhnya Zahid lebih mengerti dan punya kebijaksanaan mengemudi Umno.

DATUK ALEXANDER NOOR adalah ahli Umno yang mengikuti politik tanah air sejak 1970an.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo