NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahathir: Jual Air Tiga Sen Ke Singapura Tak Masuk Akal





Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu runding semula terma perjanjian air yang ditandatangani antara Malaysia dengan Singapura.

Ini kerana menurutnya, harga semasa jualan air ke republik itu sebagai "tidak masuk akal".

"Saya fikir adalah tidak masuk akal bagi kita menjual air pada harga 3 sen bagi setiap seribu galon. Mungkin harga itu berpatutan pada tahun 1990an atau 1930. Tetapi sekarang apa yang boleh kamu beli dengan 3 sen?

"Kita sedang kaji kes itu dengan betul dan akan membuat pembentangan," katanya kepada Channel NewsAsia.

Mengikut perjanjian semasa yang berakhir pada tahun 2061, Malaysia membekalkan Singapura dengan 250 juta gelen air mentah setiap hari pada kadar 3 sen setiap 1,000 gelen. Malaysia kemudian membeli semula sebahagian daripada bekalan itu pada kadar 50 sen setiap 1,000 gelen.

Dalam temu bual dengan Bloomberg Television yang disiarkan awal hari ini, Mahathir juga menyentuh tentang isu harga air.

"Air adalah antara isu dengan Singapura yang perlu kita selesaikan dan kita akan duduk serta berbincang dengan mereka, dengan cara orang beradab," katanya.

Laporan itu juga membandingkan komen Mahathir semasa menjadi perdana menteri selama 22 tahun sebelum ini, dari tahun 1981 hingga 2003, ketika beliau tidak berbalah dengan Singapura mengenai masalah air dan tanah.

Ia mengambil maklum bahawa pulau itu akan menjadi yang paling terjejas kerana ia bergantung kepada Malaysia bagi hampir separuh daripada keperluan airnya melalui beberapa siri perjanjian, yang pertama dimeterai pada tahun 1927.

Pada Januari lalu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengeluarkan kenyataan bersama yang mengesahkan terma perjanjian air semasa.

Pada bulan Mac 2017, Timbalan Perdana MKenteri Singapura, Teo Chee Hean, berkata negara itu harus bersiap sedia menghadapi masalah kekurangan air jika empangannya mula kering dan apabila perjanjian air dengan Malaysia berakhir pada tahun 2061.

– M'kini

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo