NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Laksana segera Undang-undang Antilompat Parti

0

KUALA LUMPUR: Penggubalan Undang-Undang Antilompat Parti perlu dilaksanakan segera bagi memastikan ahli-ahli politik tidak meng­khianati kepercayaan para pe­ngundi.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, menjadi satu kesalahan moral dan kod etika sebenarnya apabila ahli politik terlibat dalam perbuatan melompat parti.

“Walaupun undang-undang ini bersifat ‘silent’, tapi dari segi prinsipnya ia satu tindakan menipu dan mengkhianati pe­ngundi.

“Saya mencadangkan supaya undang-undang itu memasukkan klausa menggugurkan jawatan dan tidak membenarkan ahli yang lompat parti bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tegas Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, tanpa berbelah bahagi, beliau dan seluruh kepemimpinan Pas akan memberi sokongan 100 peratus kepada pihak yang membawa usul itu ke sidang Parlimen bulan depan.

Kata beliau, bagaimanapun kerajaan perlu memastikan undang-undang itu tidak mengganggu gugat Perlembagaan Persekutuan Artikel 10 (1) (c) yang membenarkan rakyat negara ini bebas berpersatuan.

“Lebih cepat lebih elok dan sebaiknya undang-undang itu berkuat kuasa ke belakang (retrospective effect),” katanya.

Pada 2010, mendiang Karpal Singh mengulangi desakannya supaya kerajaan mempertimbangkan penggubalan undang-undang anti-lompat parti atau kod etika untuk ahli politik bagi memastikan wakil rakyat yang keluar parti mengosongkan kerusi yang dimenangi.

Seterusnya pada 2015, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman menggesa kerajaan menggu­bal Undang-Undang Anti Lompat Parti (Anti-Hoping Laws) bagi memastikan kesetiaan dan integriti dalam politik.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Idris Ahmadmenempelak Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengisytiharkan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) setelah parti itu tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Beliau berkata, tindakan Syed Abu Hussin Hafiz itu seolah-olah mengkhianati amanah para pengundi di Bukit Gantang yang memilihnya kerana parti yang diperjuangkan.

Malah, jelasnya, Syed Abu Hussin Hafiz juga telah menabur pelbagai janji kepada para pengundi di sana.

“Akhirnya pukul 4 petang, Syed Abu Hussin Hafiz isytihar keluar UMNO dan jadi ahli Parlimen Bebas. Janji bulan dan bintang sewaktu pilihan raya. Saya hendak tunggu 100 hari untuk edar janji khawasul khawas kepada pengundi Bukit Gantang. Supaya pengundi tuntut janji. Tiba-tiba dah isytihar keluar hari ini,” dakwanya dalam Facebook di sini hari ini.

http://m.utusan.com.my/berita/politik/laksana-segera-undang-undang-antilompat-parti-1.698861

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo