NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kembalikan urusan hal ehwal agama Islam kepada Majlis Raja-Raja - Pakar

KUALA LUMPUR: : Pengurusan Hal Ehwal Agama Islam perlu dipulangkan kepada Majlis Raja-Raja dan diletakkan di bawah bidang kuasa negeri, tegas Felo Pengajian Islam, Pusat Pengajian Islam Oxford, Datuk Dr Muhammad Afifi Al Akiti.

Menurutnya, negara memerlukan sistem semak dan imbang oleh Raja-Raja bagi kuasa Eksekutif Persekutuan dalam hal ehwal agama Islam.

“Kita perlu memastikan hal ehwal agama Islam tidak dipolitikkan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di sini.

Tambahnya kuasa menteri berkaitan agama Islam juga perlu diminimumkan bagi mengelakkan salah guna kuasa.

“Kita tidak mahu menteri (hal ehwal agama Islam) terlalu berkuasa kerana bimbang wujud salah guna kuasa. Bidang kuasa agama dalam Perlembagaan terletak kepada Sultan," katanya.

Mengulas isu penambahbaikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dr Muhammad Afifi berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan sedang memperhalusi segala cadangan sebelum sebarang keputusan dicapai.

Beliau berkata semakan semula JAKIM bukan bermakna agama Islam tidak dijadikan keutamaan, sebaliknya mahu menjadikan Islam acuan Malaysia diterima pakai oleh sejagat.

“Kita mahu visi Islam nusantara dahulu yang berfikiran terbuka. Islam Nusantara di persada dunia sangat terkenal di negara barat dan negara Islam sendiri. Mereka merujuk kita sebagai contoh negara Islam terbaik.

“Kita perlu kembali ke zaman itu yang mana Islam wujud secara harmoni di sebuah negara berbilang agama. Ini aset penting negara.

“Saya berada di United Kingdom (UK) yang mana penduduk Islam adalah minoriti. Malaysia dijadikan contoh terbaik dan jika kita betulkan visi Islam kita, negara boleh 'mengeksport’ ajaran Islam yang betul ke UK," katanya.

Tambah Dr Muhammad Afifi, Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) perlu diperkasakan bagi membolehkan isu-isu agama Islam diurus secara lebih ilmiah.

“Kita sudah ada MKI sejak sekian lama. Pada 1997 JAKIM diwujudkan dan menjadikan pengurusan agama Islam itu terlampau terarah ke peringkat Persekutuan. Ini isu yang perlu dilihat,” Katanya

MKI ditubuhkan 48 tahun lalu sebagai badan penyelaras pentadbiran agama Islam seluruh negara, dalam menyelaras atau menggalakkan persamaan perkara-perkara berkenaan dengan undang-undang, pentadbiran agama Islam dan pendidikan agama Islam.

Penubuhan jawatankuasa mengkaji kedudukan JAKIM diumum Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Mei bagi memastikan Islam tidak digambarkan sebagai agama yang zalim, keras dan tidak bertimbang rasa.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo