NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS dan PRU14, satu pandangan awal


Pilihan Raya Umum ke-14 baru ini dicirikan oleh gelombang populisme yang kuat, hingga menenggelamkan Umno dan BN dan menyapu sekali PAS, walaupun parti Islamis ini dapat menguasai dua negeri. 

Bagi PAS, kesan populisme menolak GST dan BN ini menyebabkannya tewas teruk di Pantai Barat, walaupun menyimpan harapan untuk menambah kerusi Parlimen di Selangor terutamanya.

Tetapi, dilihat dari dalam, kegagalan PAS kali ini sebahagian besarnya melibatkan kegagalan media (media rasmi dan penerangan parti) dan kelemahan strategi, terutama dalam menerangkan mesej manifesto dan dokumen besar lain seperti WINS, Dokumen Hijau.

Seperti wujud satu "paradox of plenty" apabila dokumen dan mesej yang banyak ini tidak ada satupun yang dapat dipersembahkan dengan berkesan kepada pengundi. 

Media PAS - yang sifatnya sangat tradisional dan eksklusif - hampir tidak kelihatan dalam pilihan raya kali ini, walaupun kehadiran di media sosial dirasai pada tahap tertentu.

Tidak ada mesej besar utama yang dapat disampaikan kepada umum yang menyentuh keresahan mereka dengan baik.

Mesej PAS masih banyak diungkapkan dalam bahasanya yang kurang difahami orang ramai dan kurang usaha untuk menterjemahkannya kepada pengundi - berdasarkan prinsip KISS, "Keep it simple, stupid."

Kempen negatif terhadap PAS juga memberi kesan sehingga ia dikaitkan dengan Umno yang tidak popular.

PAS juga muncul dengan Gagasan Sejahtera dalam bentuk tidak sempurna dan tidak kohesif dibandingkan dengan Pakatan Harapan yang juga menggunakan satu logo yang dikenali, dan berjaya dilihat sebagai pilihan lain selain BN.

Kemunculan Gagasan Sejahtera sebagai satu blok hanya ditonjolkan dengan lebih agresif menjelang pembubaran Parlimen, tempoh yang amat singkat sebelum hari pilihan raya.

Hampir keseluruhan masalah yang melanda berhubung dengan masalah media dan komunikasi PAS yang gagal menjadi senjata penting dalam pertempuran kali ini.

Walau bagaimanapun, jumlah undi yang besar diperolehi dan ahli-ahli yang masih komited mungkin boleh mengubah nasib PAS menjelang pilihan raya umum selepas ini, sekiranya masalah-masalah ini ditangani dengan cara yang sering disebutnya: teknokratik dan profesional.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo