NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

FMT: Peguam lapor SPRM dakwa Mat Sabu 'salah guna' pesawat tentera


Setiap penerbangan menelan kos "sekurang-kurangnya AS$50,000 (RM199,125)".

GEORGE TOWN: Seorang peguam membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyalahgunakan aset tentera untuk lawatan ke Butterworth baru-baru ini.


Abu Backer Sidek Mohamad Zan berkata, presiden Amanah yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu diterbangkan ke Pulau Pinang untuk menghadiri majlis berbuka puasa di pangkalan Tentera Utara Diraja Malaysia (TUDM) di sana, sebelum ke Tasek Gelugor, kampung halamannya yang terletak berdekatan untuk satu majlis lain.


Backer tidak menentang Mat Sabu menghadiri majlis itu, tetapi menyifatkan penggunaan aset tentera untuk tujuan itu sebagai pembaziran dan tidak perlu kerana mendakwa setiap penerbangan menelan kos "sekurang-kurangnya AS$50,000 (RM199,125)".

Sabtu lalu, Mat Sabu terbang ke Butterworth dengan pesawat TUDM Airbus A400M daripada 22 skuadron pada 5.15 petang.


Beliau ditemani isterinya, Normah Alwi dan pemimpin atasan pasukan tentera untuk menghadiri majlis berbuka puasa dengan warga TUDM di Pangkalan Udara TUDM Butterworth.


Beliau kemudiannya menghadiri satu lagi majlis berbuka puasa di Kampung Guar Petai, Tasek Gelugor.


Backer mendakwa TUDM menganjurkan majlis berbuka puasa itu mewajarkan penerbangan berkenaan.


"Ia sekadar satu alasan. Saya rasa ia terlalu mahal. Jika anda mahu terbang ke Pulau Pinang, anda tidak perlu membelanjakan AS$50,000. Anda boleh menaiki pesawat komersial, kelas pertama atau perniagaan.


"Lebih baik jika anda memandu ke sana dengan pengiring tentera. Kita ada hutang RM1 trilion, kenapa kita perlu membebankan negara lagi?" katanya kepada FMT.


Ditanya bagaimana beliau mendapat tahu mengenai kos AS$50,000 itu, katanya, ia diperolehi daripada "pemberi maklumat" dan mereka dalam industri pesawat, yang mengambil kira kos bahan api dan operasi di darat.


Backer membuat laporan di ibu pejabat SPRM Di Putrajaya pagi tadi, menggesa agensi anti-rasuah itu menyiasat kemungkinan penyalahgunaan aset tentera untuk lawatan berkenaan.


Dalam laporannya, beliau berkata, ketua setiausaha Kementerian Pertahanan dan juga ketua pasukan tentera serta TUDM juga perlu disiasat.


Beliau turut menggesa SPRM menyiasat bekas menteri pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang didakwanya bersalah seperti Mat Sabu kerana membuat lawatan sedemikian ketika memegang jawatan itu.


Beliau mendakwa penerbangan ke Butterworth dengan pesawat tentera mungkin satu bentuk "ampu" oleh jeneral untuk melanjutkan kontrak mereka yang hampir bersara.


"Untuk Mat Sabu pula, saya pasti anda amat teringin menaiki pesawat (tentera). Tetapi, biarlah untuk alasan rasmi, bukan balik kampung."


FMT masih menunggu jawapan Mat Sabu dan Hishammuddin.





No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo