NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anwar PM Ke - 8?


MUNGKINKAH PENAMAT GELORA POLITIK ANWAR?
rencanautusan@gmail.com

DATUK SERI ANWAR IB­RAHIM yang dibebaskan dari penjara se­­malam, sebelum menerima pe­ngampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong telah mengharungi laluan penuh berliku dalam politik.

Paling diingati rakyat Malaysia dan pemerhati, gandingan Tun Dr. Mahathir Mohamad-Anwar adalah contoh tersohor dalam politik tentang bila kawan jadi lawan, yang kemudiannya jadi kawan semula.

Bermula dari 1982 hingga 1997, Anwar naik macam roket dalam karier politiknya yang di'boost' oleh mentornya, Dr. Mahathir.

Akhirnya lantaran mengiakan dorongan kawan dan penyokong yang barangkali kurang sabar, Anwar dikatakan merancang dan melaksanakan operasi 'ambil alih' kuasa melalui taktik yang di luar tradisi UMNO. Beliau kecundang lantas 'dibaham' sistem undang-undang yang beliau sendiri turut menguatkuasakannya (Akta Pencegah Rasuah 1997).

Sebelum 1997, gandingan Dr. Mahathir dan Anwar adalah ma­sing-masing selaku Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Mereka tak ubah macam isi dengan kuku.

Dalam Perhimpunan Agung 1996 dua tahun sebelum dipecat daripada kerajaan dan UMNO, Anwar melontarkan pantun berikut di atas pentas dengan sambutan tepukan gemuruh daripada sidang perwakilan:

Angkut-angkut terbang ke langit
Tiba di langit di makan merbah
Biar tertangkup bumi dan langit
Setia saya tidak akan berubah.

Menjelang pemecatannya itu pada September 1998, Anwar beberapa kali membuat kenya­taan yang bercanggah dengan Dr. Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri. Pendapat fiskal beliau yang bertembung dengan dasar yang digariskan oleh Dr. Mahathir mengenai peranan Dana Kewa­ngan Antarabangsa (IMF) dan beberapa isu fiskal negara dilihat sebagai pertembungan. Penyokong Anwar semacam sudah tidak tahan lagi menunggu giliran untuk bos mereka jadi orang nombor satu.

Dan andai Anwar tidak meletak jawatannya sebelum 2 September 1998, berkemungkinan sejarah negara beralih haluan hari ini, kerana orang seperti beliau akan mampu tegak semula dan menyusun langkah untuk memimpin UMNO selepas era Dr. Mahathir.

Bagaimanapun itu tidak berlaku. Dan Anwar terpalit dalam isu moral dan kemudian menjalani hukuman penjara.

Memang benar, Dr. Mahathir senang dengan Anwar semenjak beliau memasuki UMNO lagi pada 1982. Bimbingannya untuk menjadikan Anwar sebagai pengganti jelas kepada semua terutama kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Anwar selalu berada dalam Kabinet dalaman Mahathir.

Pemecatan Anwar pada 1998 mengakibatkan orang Melayu berpecah-belah dengan terbahagi kepada kem-kem tertentu. Demonstrasi jalanan dan reformasi serta tohmahan dan fitnah memfitnah menjadi tular dari mulut ke mulut sebelum menjadi kritikal dengan kedatangan laman sosial.

Selepas 18 tahun berlalu, Dr. Mahathir akhirnya berjabat ta­ngan dengan Ketua Umum PKR itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 September 2016. Permusuhan dinoktahkan.

"Beliau (Dr. Mahathir) sudah berubah dan komited terhadap agenda reformasi," kata Anwar kepada pemberita selepas menghadiri prosiding mahkamah ber­kenaan tuntutannya terhadap kerajaan yang didakwa mendapatkan pensabitan kesnya menerusi penipuan pada Februari tahun ini.

Gandingan Dr. Mahathir-Anwar serta parti-parti DAP, PKR, PPBM dan PAN dengan Dr. Mahathir selaku Pengerusi PPBM menerusi strategi yang tersusun bersekali hembusan 'tsunami rakyat' akhirnya menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail setelah kemenangan bersejarah Pakatan Harapan, diangkat mengisi jawatan nombor dua kerajaan, Timbalan Perdana Menteri.

Sementara pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan yang turut dijanjikan sendiri oleh Dr. Mahathir tidak akan dibuat secara terburu-buru dan akan dijalankan mengikut perancangan asal - pada pertengahan penggal di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo