NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

30 info, fakta dan persoalan PRU



oleh: MOHD NASIR ABDULLAH

1. PAKATAN Harapan (PH) menang PRU, Tun Mahathir menjadi PM yang tertua di dunia pada umur 92 tahun lebih tersenarai dalam Guiness Book of Record. Tetapi masih tidak dapat menandingi umur tertua sebagai ketua parti iaitu Karnaniti dari Parti DMK di Selatan India, yang dilaporkan sekarang berusia 98 tahun dan masih memegang jawatan Presiden partinya.

2. Lim Guang Eng dilantik menjadi Menteri Kewangan dalam keadaan beliau masih ada kes dakwaan rasuah di mahkamah. Menimbulkan tanda tanya ramai tentang janji pemerintahan bersih PH yang baharu.

3. Mohamad Sabu dilantik menjadi Menteri Pertahanan. Beliau pernah membuat isu berkenaan Komunis yang dikatakan mengguris hati bekas tentera. Adakah tentera akan menerima beliau, ataupun ini hanyalah kesengajaan Tun Mahathir bagi meletakkan Mat Sabu di tengah-tengah tentera yang marahkan beliau?

4. Pernah satu ketika, anggota-anggota Polis yang berkhidmat dengan British di Bukit Kepong, dipersoalkan status mereka oleh Mat Sabu, sama ada pembela negara ataupun pembela British dan beliau secara terang mengangkat Mat Indera sebagai pejuang, walaupun Mat Indera berjuang bersama Komunis.

Ketika itu Muhyiddin Yassin bangun dan meledakkan kemarahan beliau kepada Mat Sabu yang berkebetulan juga Bukit Kepong itu berada di Parlimen Pagoh dan semua waris anggota polis Bukit Kepong yang masih hidup, begitu marah kepada Mat Sabu.

Sekarang, adakah Muhyiddin akan mengatakan Mat Sabu betul? Atau beliau yang salah? Adakah Mat Indera pejuang atau pengkhianat? Adakah Parti Komunis itu salah satu cabang pasukan yang memberontak British sahaja dan membantu kemerdekaan negara atau petualang negara? Kebetulan juga sekarang kedua-duanya memegang jawatan Menteri dari pakatan politik yang sama.

5. Di dalam semua senarai negeri yang dimenangi oleh PH, Bersatu mendominasikan jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar di empat buah negeri walaupun mendapat kerusi yang paling sedikit, parti lain seperti terkunci mulut.

6. GST akan dimansuhkan. Walaupun rakyat menjangkakan ianya akan segera dihapuskan, tetapi ia tidak mungkin berlaku segera. Ini kerana GST dilahirkan oleh satu Akta di Parlimen. Maka hanya Parlimen sahaja yang boleh menguburkan akta itu. Mahu tidak mahu, mesti tunggu Parlimen bersidang dahulu.

7. Belum pun penghapusan GST dilaksanakan, juga belum pun jualan hari raya berlangsung, jualan murah besar-besaran telah berlaku iaitu jualan harga diri Adun BN dan pengikut mereka berbondong-bondong masuk Bersatu, perkara yang belum pernah berlaku ke atas BN sebelum ini.

8. Royalti bagi negeri-negeri pengeluar minyak dijanjikan PH akan diberikan sebanyak 20 peratus. Janji ini sepatutnya boleh ditunaikan segera kerana royalti petroleum Terengganu dihapuskan dahulu hanya melalui cadangan dalam Persidangan Umno kemudian dilaksanakan oleh PM ketika itu Tun Mahathir, tidak melalui Parlimen.

Jadi lojiknya paling kurang 5 peratus yang dirompak itu, boleh dikembalikan dahulu kepada Terengganu dan Kelantan. Andai sekiranya kenaikan 20 peratus itu tidak boleh diserahkan lagi kerana memerlukan kelulusan Parlimen. Tetapi lima peratus itu sudah termaktub sejak dahulu dan masih berjalan.

9. PAS tidak bergabung dengan Umno mahupun PH. PAS mahu bergabung di Perak, dengan semua parti bagi membentuk Kerajaan Perpaduan tanpa pembangkang. PH menolak segala syarat PAS, tidak akan bergabung. Tetapi akhirnya menerima ihsan undi Umno yang dia hina dahulu untuk membentuk kerajaan.

10. PH Johor berkata tidak akan memberikan peruntukan kepada pembangkang. Sikap sama seperti BN yang ditunjukkan oleh PH, menepati usikan rakyat PH = BN 2.0.

11. Anwar akan dibebaskan dengan pengampunan Diraja. Tetapi pengamal Undang-undang bertanyakan, kenapa tidak dibicarakan semula bagi membuktikan Anwar tidak bersalah?

Jika diberikan pengampunan, maka bermaksud perbicaraan beliau selama ini adalah betul sebab Anwar adalah bersalah ketika itu oleh Mahkamah, dia memang seorang peliwat.

Oleh itu adakah PKR telah menipu rakyat sejak dahulu ketika mengajak rakyat menentang kezaliman? Masih ingat lagi Augustin Paul? Hakim yang dikatakan berat sebelah. Siapa penipu sekarang?

12. Apabila Anwar dilihat sah sebagai seorang peliwat kerana dia dibebaskan melalui proses pengampunan Diraja, bukan didapati tidak bersalah, maka apakah keadilan kepada Saiful dan Azizan? Ditambah lagi Anwar mempunyai kuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri nanti, adakah mereka berdua akan dihukum?

13. Mahfuz Omar berkata, jangan pertikaikan kelayakan Mat Sabu sebagai Menteri. Tidak semestinya Menteri Pertahanan dilantik daripada tentera yang pencen.

Saya tidak pasti kenyataan beliau itu menghina tentera pencen atau ianya satu kenyataan mempertahankan diri kerana ramai orang tahu apa kelayakan Mahfuz Omar.

Diharap Mahfuz juga bakal menjadi Menteri. Sebelum ini PH yang berkokok mempersoal dan mentertawakan kelulusan lawan mereka. Sekarang apa jadi?

14. Tiada Adun dari parti lain melompat masuk ke dalam parti PAS dan tiada Adun PAS melompat masuk ke parti lain sehingga setakat ini. PAS kekal dengan baiah, tidak khianati undi rakyat. Yang ada ialah ahli PH menerima lompatan masuk Adun BN. Dan Rabu ini, PBB dari Sarawak akan mengumumkan tindakan mereka.

15. Sabah mempunyai dua orang Ketua Menteri setelah masing-masing Musa Aman dan Shafie Afdal mengaku mendapat sokongan. Akhirnya Shafie diisytiharkan menjadi KM. Sabah paling banyak rekod melompat dalam sejarah PRU kali ini dan rekod Ketua Menteri paling sekejap digantikan jawatan iaitu sehari.

16. Ada pihak selepas menang PRU mengugut PAS untuk mendapatkan bukti bahawa PAS menerima wang Umno RM 90 juta. Persoalannya ialah kenapa baharu sekarang mahu mencari bukti sedangkan disebarkan dahulu bahawa bukti sudah ada dan PAS sudah dikatakan terbukti bersalah?

17. Presiden PAS menunaikan janjinya dahulu yang dia tidak mahu menjadi Menteri Besar Terengganu dengan melepaskan kerusi Dun Rhu Rendang.

Jika dia mahu, dia boleh sahaja meminta anak buahnya mengosongkan satu kerusi selamat untuk diadakan PRK sebagaimana yang berlaku di Permatang Pauh dan Kajang sedikit masa dahulu.

Ada orang, dahulu berjanji sudah tidak mahu menjadi PM tetapi tetap masuk bertanding dan jadi PM.

18. Seorang profesor mendakwa, PAS disokong oleh lebih dua juta rakyat Malaysia yang cintakan kebaikan. Sebenarnya ia suatu kenyataan yang tidak menghairankan kepada ahli dan penyokong PAS, tetapi dibimbangi menjadi isu yang mengfobiakan golongan lain yang tidak sanggup mengaku bahawa itulah identiti PAS.

19. PAS di Terengganu, pada awal kemenangannya minggu lepas telah difitnah menutup balai raya, merampas kuncinya, memecat imam-imam masjid. Laporan polis telah dibuat dan yang berjaya dikesan, telah meminta maaf. PAS sentiasa difitnah dahulu oleh Umno, sekarang sepertinya ada pengganti Umno.

20. Rakyat tertanya-tanya berapa lamakah PH ini bertahan menjadi kerajaan? Adakah sebelum puasa? Adakah belum sempat Menteri, Ketua Menteri atau Menteri Besar menyambut Aidilfitri di kediaman rasmi masing-masing? Adakah sebelum setahun? Atau mungkin tidak sampai sepenggal?

21. Najib letak jawatan sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN atas tanggungjawab kekalahan BN, menyerahkan tugas kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Khairy Jamaluddin dikatakan orang yang patut Umno naikkan sebagai pemimpin.

22. Pahang paling lambat mengumumkan nama Menteri Besar, walaupun sudah diisytiharkan menang dengan majoriti mudah. Kelihatan masing-masing seperti mengelak daripada menjawat jawatan itu. Penolakan jawatan yang sebegini, amat mustahil berlaku di dalam BN sebelum ini. Pahang mempunyai hutang hampir RM 3 billion.

23. Kali pertama Terengganu mempunyai Menteri Besar berkelulusan PhD dan juga Menteri Besar tunggal di antara semua negeri yang memilikinya pada PRU14 ini.

24. Sehingga malam ini 14 Mei, Terengganu satu-satunya negeri yang saya membaca laporan mengadakan Solat Hajat bagi menyambut kerajaan baharu di Wisma Darul Iman (maafkan saya jika ada negeri lain yang berbuat perkara sama sebab saya tak dapat laporan itu).

25. PH mengugut untuk mengambil tindakan terhadap pegawai atasan kerajaan yang dikatakan melindungi bukti kes 1MDB. Peguam Negara akan dipecat oleh PM, membawa kepada satu persoalan oleh pengamal Undang-undang, bolehkah jawatan besar itu dipecat sedangkan ia dilantik oleh Yang Dipertuan Agong?

26. Akhbar-akhbar utama di Malaysia sekarang ini dikatakan mempunyai sikap yang lembut kepada PH setelah BN kalah. Tetapi ia masih tidak kelihatan terlalu nyata terhadap PAS kerana PAS kekal pembangkang.

Sejauh mana kebebasan akhbar di bawah PH itu benar, boleh dilihat dengan liputan yang tidak memihak, PAS juga diberikan permit penyiaran TV serta Harakah akan diberikan permit penerbitan harian. Jika ini berlaku dan berkekalan sehingga tamat penggal ini, insyaAllah bermakna PH kekal dengan janjinya.

27. Sehingga tulisan ini ditulis, masih belum kedengaran lagi komen daripada Husam Musa, Nik Omar, Cikgu Rahim, Raja Bahrain, Dr Syed Azman dan kumpulan yang mewakili PH yang kalah di sebelah Kelantan dan Terengganu.

28. Sehingga info ini ditulis juga, Tun Mahathir masih belum dilaporkan menziarahi makam Almarhum Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak sebagaimana sebelum PRU yang sangat galak menziarahi kubur-kubur bekas Presiden dan Mursyidul Am PAS, kecuali Haji Yusof Rawa.

29. Desakan demi desakan ke atas Tun Mahathir untuk melaksanakan segera apa yang PH dakwa telah dipersetujui untuk dilakukan segera terutamanya daripada PKR semakin kuat, seperti tidak mempercayai Tun Mahathir. Tetapi apabila rakyat menanyakan perihal Manifesto PH, mereka tahu pula menyuruh rakyat bersabar.

30. Boleh dikatakan majoriti rakyat yang celik politik, tidak mempercayai tindakan Tun Mahathir akan memberikan kelebihan kepada PKR berdasarkan beberapa sejarah lampau dan tindak tanduk beliau sekarang.

Mungkinkah sesuatu luar jangkaan akan dilakukan oleh Tun Mahathir dalam masa terdekat ini? Hanya Allah yang tahu, tetapi bunga-bunga seperti lambang partinya itu, sudah kelihatan.

Info bonus

Indira Ghandi bekas Perdana Menteri India, bukanlah daripada keturunan Mahatma Ghandi. Indira sebenarnya daripada keturunan Jawaharal Nehru, Perdana Menteri India yang pertama.

Dia adalah anak hasil daripada perkongsian hidup Nehru dan Kamla. Indira kemudiannya berkahwin dengan seorang Muslim, Feroz Khan iaitu anak Nawab Khan dan seorang wanita daripada Parsi yang mempunyai nama Ghandy di belakangnya.

Ghandy itu kemudiannya digunakan sebagai nama keluarga (sedangkan biasanya nama keluarga dari pihak lelaki) yang akhirnya ditukar menjadi Ghandi. Ia bertujuan politik, iaitu melahirkan keadaan yang dekat dengan Ghandi, supaya rakyat terasa menyokong mereka adalah sama dengan menyokong Ghandi.

Indira kemudiannya memeluk Islam (saya tidak pernah tahu beliau seorang Islam yang saya sangka sebelum ini beliau adalah Hindu).

Anaknya Rajiv Ghandi, sebelum berkahwin dengan Sonia adalah Muslim, kemudian keluar Islam menjadi Katolik setelah berkahwin. Indira meninggal dalam keadaan Muslim seperti yang dilaporkan. Sanjiv anak Indira juga beragama Islam.

Apa pengajaran daripada cerita ini? Dalam politik, semuanya boleh dilakukan apabila matlamat menghalalkan cara. Kahwin campur agama ini terlalu banyak terjadi di India. Awaslah ketika memilih pimpinan kerana kita mahu mengikut pemimpin kita di akhirat nanti dan jangan anak cucu kita menjadi mangsanya nauzubillah. - HARAKAHDAILY 15/5/2018


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo