NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PPMJ: Sokongan untuk Pakatan merosot di Johor?



Oleh Dhia Hani

Pakatan Harapan semakin hari semakin menampakkan kelemahan mereka dalam pengurusan pentadbiran, lebih-lebih lagi di Johor. Pakatan Harapan seolah-olah semakin terhakis dalam fikiran masyarakat.

Ia boleh diibaratkan seperti lilin yang hanya mampu menjadi penerang buat seketika namun sedikit demi sedikit mencair dan akhirnya terpadam begitu sahaja.

Sebelum ini, beria-ia Pakatan Harapan melaungkan slogan reformasi tapi pada hakikatnya ia hanya sekadar laungan semata-mata tanpa ada sebarang tindakan.

Kekerapan Pakatan Harapan mengulang-ulang laungan yang sama, lama-kelamaan membuatkan rakyat menjadi semakin bosan dengan Pakatan Harapan.

Perkara yang terjadi seperti ini menjadi salah satu asbab kenapa Pakatan Harapan semakin kehilangan penyokong terutama di Johor.

Jika mereka masih mempunyai sokongan yang kuat dari rakyat, khususnya rakyat Johor seperti yang dilaung-laungkan sebelum ini maka buktikanlah kepada semua.

Namun hakikat yang berlaku pada hari ini dimana Muhyiddin Yassin sendiri mempersoalkan di mana bukti yang mengatakan rakyat bersama-sama dengan Pakatan Harapan?

Ternyata Muhyiddin sangat kecewa dengan Pakatan Harapan kerana Pakatan Harapan gagal membentangkan kedudukan sebenar sokongan rakyat terhadap parti tersebut.

Hal ini dapat diperkuatkan lagi apabila kebanyakan ceramah yang diadakan oleh Pakatan Harapan hanya dipenuhi dengan kerusi berbanding penyokong.

Inikah yang dikatakan Pakatan Harapan mendapat sokongan padu dari rakyat? Bukan rakyat tetapi kerusi semata-mata!

Bagaimana rakyat mahu menyokong Pakatan Harapan sedangkan parti komponen dalam Pakatan Harapan sendiri dilihat tidak mempunyai kerjasama yang jitu, malah semakin celaru dengan hala tuju masing-masing.

Tambahan lagi, masing-masing hanya ingin menjatuhkan kerajaan semata-mata ingin menunjukkan siapa yang lebih berkuasa untuk menakluk kerajaan.

Walau bagaimanapun hasil tinjauan oleh Merdeka Centre For Opinion Research menunjukkan 68% daripada 1,007 orang responden bersetuju bahawa pentadbiran Johor menghala ke arah yang betul dan hanya 26% tidak bersetuju.

Seterusnya, sentimen positif ke atas Menteri Besar Mohamed Khaled Nordin juga tinggi iaitu pada kadar 58% berbanding hanya 17% yang tidak berpuas hati dengan pentadbirannya.

Jadi untuk apa rakyat Johor perlu meletakkan kepercayaan kepada Pakatan Harapan sedangkan Johor sudah mempunyai Menteri Besar yang berkaliber dan bertanggungjawab.

Bukan seperti Pakatan Harapan yang hanya pandai menabur janji-janji palsu.

Sudah terbukti sekarang bahawa Pakatan Harapan sebenarnya ditolak oleh majoriti rakyat khususnya rakyat di Johor.

Dan ternyata Pakatan Harapan semakin kuat hanya laungan retorik, buktinya Muhyiddin sendiri kecewa dengan gerakan jentera Pakatan Harapan.

Dhia Hani adalah penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor









________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo