NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pelopor zakat gaji di Malaysia meninggal dunia



Innalillah wainna ilahi raji'un. Dr Rashid Dail, PELOPOR ZAKAT GAJI di MALAYSIA, telah meninggal dunia 630 ptg tadi dan selamat dikebumikan malam ini di tanah perkuburan Sg Tangkas Kajang 31 Ogos 2017.

Almarhum Dr Rashid mantan pensyarah kanan FPI UKM.Tidak banyak orang yang kenal beliau sebagai pelopor zakat pendapatan di Malaysia. Beliau telah membentang dan membahas kertas kerja beliau mengenai zakat pendapatan sejak tahun 70an, tapi masih belum diterima oleh kerajaan mahupun rakyat Malaysia ketika itu

Pertama kali saya bertemu dengan beliau akhir 1986 di rumah beliau di Teras Jernang, apabila beliau membentangkan kertasnya mengenai zakat pendapatan atau zakat gaji dalam satu sesi halaqah ilmu. Memang zakat gaji tidak ada kitab zakat fiqh konvensional di Malaysia pada masa itu. Malah zakat gaji tidak disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w. Adakah ia satu bidaah yang sesat atau buruk hanya kerana Nabi tidak buat atau tidak mengamalkannya?

Dr Rashid bersandarkan hujahnya dari kitab tulisan Yusuf Qardawi dan Husayn Shakatah, dan beliau berhujah dengan mengambil qias zakat emas dan zakat tanaman sebagai asas untuk mengemukakan cadangan zakat gaji. Kalau petani keluar zakat 2.5% kerana hukum Allah setiap kali mereka tuai padi , dan kalau pemilik emas potong 2.5% kerana hukum Allah dari simpanan emas mereka, maka mengapa orang yang bekerja dengan gaji 4 angka atau 5 angka atau 6 angka sebulan tidak dikenakan zakat 2.5% dari pendapatan mereka? Bukankah orang makan gaji setiap bulan lebih banyak pendapatan mereka daripada petani yang menanam padi yang hanya kutip hasil tuai padi 2 kali setahun? Logik, benar ia satu yang logik dan saya menerimanya dan bersetuju dengan hujahnya 100% ketika itu.

Ketika 80an hinggalah akhir 90an rakyat Malaysia berugama Islam masih ragu-ragu dengan cadangan ini. Saya sudah boleh menerima hujah logiknya ketika saya mendengar pembentangan kertas kerjanya di Teras Jernang 1986, saya terus potong gaji sebagai seorang guru sekolah setiap bulan dan saya serah kepada Baitulmal WP ketika itu walaupun belum diwartakan kutipan zakat gaji. Apabila saya bekerja di UKM akhir 1987, saya teruskan potong gaji saya untuk zakat gaji hingga hari ini kerana Allah, bukan kerana dapat pengecualian dari LHDN yang hanya berkuatkuasa awal tahun 2000. .

Hanya pada tahun 1997 barulah Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa "wajib" zakat pendapatan kepada mereka yang makan gaji. Hari ini, ramai orang makan gaji potong gaji bayar zakat, malah banyak syarikat besar membayar zakat pendapatan dan zakat perniagaan kepada Baitumal. Zakat bermakna "bersih", maka bersihkan pendapatan kita untuk diberikan kepada golongan asnab. Duit hanya pinjaman, hanya harta sementara, dan Nabi s.a.w. sebut duit fakir miskin ada dalam poket orang berada atau orang kaya. Sebahagian kecil duit kita bukan milik kita, tapi milik orang lain yang memerlukan. Maka bayar zakat gaji kepada Baitulmal adalah satu kaedah membersihkan harta kita setiap bulan. Semoga harta dan pendapatan kita diberkati Allah.

Tabarakallah ya Almarhum Dr Rashid Dail. Semoga Allah ampuni kesalahannya, memberkati segala amal baiknya dan menerimanya sebagai ahli syurga. Amin. Alfatihah.

Nota kaki: Almarhum Dr Rashid Dail adalah ahli PAS Teras Jernang, mantan Ahli Majlis Syura PAS, mantan Ahli Lajnah Ekonomi PAS Pusat,


© all rights reserved
made with by templateszoo