NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kedaulatan Islam & Raja Memerdekakan Tanah Melayu



oleh: Hj. Zainal Zainuddin,
Felo Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM)

Bahawa Tanah Melayu berjaya dibebaskan daripada Britain menerusi rundingan siasah, bukannya peperangan dan pertumpahan darah, adalah suatu kejayaan cemerlang pemimpin dan rakyat peribumi ketika itu. Pengalaman lampau mendidik para pemimpin pra-Merdeka supaya lebih berhati-hati, ditambah keberkesanan dan impak bersatu-padu di bawah naungan Raja-Raja Melayu, mengambil iktibar episod Malayan Union 1946 yang berjaya digagalkan. 

Dengan mengadunkan tiga entiti: (i) Raja-Raja Melayu (ii) Agama Islam dan (iii) Rakyat jelata, pimpinan Tanah Melayu ketika itu meniti arus ke arah pembentukan sebuah Persekutuan Tanah Melayu. Kerjasama penuh complimentary merentas bidang itu sebenarnya mendahului konsep National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang digunapakai hari ini untuk urus-tadbir pelbagai agensi kerajaan Malaysia. Jelaslah, kebijaksanaan Raja-Raja Melayu yang diwarisi sejak beratus tahun dahulu memerintah Kerajaan Melayu-Islam Lama dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Tanggal 5 Ogos 1957, sekali lagi Raja-Raja Melayu, meskipun memahami penuh akan maksud dan kesan penyerahan kuasa tadbir Negeri-Negeri kepada sebuah Persekutuan, dalam satu nada dan tekad, besar jiwa dan penuh semangat ingin melihatkan kemerdekaan Tanah Melayu yang bersatu dalam konsep “Raja Berperlembagaan” (Constitutional Monarchy), telah menurunkan tandatangan perkenan selaku “Wasiat Raja-Raja Melayu” untuk seluruh rakyat jelata. 

Demikianlah wasiat bersejarah berkenaan telah diabadikan dalam Perlembagaan Persekutuan 31 Ogos 1957 dengan pengekalan kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu, penyimpanan hak milik Tanah Simpanan Melayu, penubuhan Rejimen Askar Melayu, pengisytiharan Islam sebagai Agama Persekutuan, menginstitusikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta melindungi kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan memelihara kepentingan sah kaum-kaum lain (Fauzi Shaffie [2017], “Menyusur Akar Wasiat 7”).

Menyelusuri tempoh masa pos-Merdeka tidak lama kemudiannya, sejarah juga merakamkan betapa bijaksananya formula hegemoni dan kesejahteraan rakyat Tanah Melayu terhasil sekali lagi dalam kerangka pemikiran strategik lautan biru siasah negara dengan memanfaatkan tenaga tiga etnik terbesar – daripada competing (bersaing) bertukar menjadi complementing sesama kaum – berupa sebuah ‘Kontrak Sosial’ yang berjaya dimuktamadkan secara berhemah penuh tanggungjawab. 

Sekali lagi tinta emas melakar sejarah ulung apabila Wira-Wira Negara berjaya mencaturkan pembinaan transformasi pertama Tanah Melayu menjadi sebuah Malaysia pada 16 September 1963, hasil gandingan ampuh tiga artikek bangsa dan negarawan ulung: YTM Tengku Abdul Rahman Putra, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambanthan. 

Apakah begitu sukar untuk kita membungkah sejarah menoleh sejenak jejak-jejak lampau yang telah kita sendiri rentasi dan success stories yang kita sendiri perolehi itu? Sesungguhnya itulah teladan terbaik untuk sama-sama kita jadikan bekalan menggerakkan negara ke era transformasi sosio-ekonomi-politik selanjutnya yang jauh lebih bermakna selaras dengan kehendak semasa.

Di sinilah institusi Raja-Raja dapat memainkan peranan selaku payung teduhan rakyat. Mengapa tidaknya? Bukankah Raja-Raja Melayu masih mewarisi Wa’adat Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba tujuh abad yang lalu? Sejarah membuktikan bahawa KeBawah Duli-Duli Yang Mulia Raja-Raja Melayu yang masih bersemayam di atas Takhta Kerajaan Negeri kekal berdaulat di Negeri-Negeri berkenaan sejak diwarisi daripada Kerajaan Melayu Lama walaupun dengan termeterainya perjanjian-perjanjian antara Raja-Raja Melayu dengan pihak British, bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874 dan berakhir dengan Perjanjian Johor pada tahun 1914. 

Kedudukan Negeri-Negeri Melayu kecuali Pulau Pinang, Melaka dan Singapura adalah “Protected Malay States,” yakni berupa Negeri-Negeri di bawah ‘lindungan’ British dan bukannya ‘jajahan’ British (Emily Sadka [1968], The Protected Malays States 1874-1895). Jika tidak, masakan Sir Harold Mac Michael dititahkan Baginda Queen of England pada Oktober 1945 untuk mendapatkan tandatangan perkenan Ke Bawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Raja-Raja Melayu yang bertakhta di Negeri-Negeri Melayu ketika itu sebelum proses membentuk sebuah Malayan Union yang kemudiannya gagal diagendakan.

Perlu juga dijelaskan bahawa “khususnya dalam agama Islam, kedudukan dan peranan Raja-Raja yang ada hari ini adalah penerusan dari sistem dan kerangka di dalam Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15” (Abdul Aziz Bari [2009], “Konsep Raja Berperlembagaan Dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948”).

Barangkali atas konsep kedaulatan Islam yang sama itulah Islam diabadikan sebagai Agama Persekutuan dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan dan betapa terang lagi bersuluh Perkara 37 (1) mewajibkan setiap Raja Melayu yang secara bergilir memegang tampuk takhta Ketua Negara sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, mengangkat Sumpah Jawatan dengan lafaz ikrar: Wallahi, Wabillahi, Watallahi “mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri” (Jadual Keempat, Perkara 37, Perlembagaan Negara).

Pernyataan jelas ciri-ciri mempertahankan kedaulatan Islam dalam Perlembagaan Persekutan ini diperkukuhkan lagi dengan fakta bahawa elemen-elemen Islam dikekalkan dalam Enakmen Negeri-Negeri dan Perlembagaan Persekutuan. Demikian halnya juga dengan penghakiman dalam mahkamah oleh barisan Hakim-Hakim Yang Arif lagi Bijaksana pernah memutuskan betapa elemen Islam memainkan peranan yang sangat crucial dan encompassing dalam urus-tadbir sebuah negara berdaulat bernama Malaysia – satu-satunya negara-bangsa demokrasi berparlimen moden yang mengekalkan sebuah insititusi unik di bawah naungan Raja-Raja Melayu penuh berdaulat.

Selamat menyambut Hari Kebangsaan Malaysia ke-60. Selamilah setiap detik erti sebuah kemerdekaan dengan perkenan Raja-Raja Melayu dan keringat rakyat. Semoga Titah Ikrar Paduka Seri Sultan Perak pada 5 Ogos 2017 yang lalu bahawa “Raja-Raja Melayu peka dan memahami denyut nadi dan denyut jantung rakyat” benar-benar dapat dijelmakan dengan penuh hikmah lagi bijaksana.



© all rights reserved
made with by templateszoo