NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

182 AHLI DAP MELAKA UMUM KELUAR PARTI

Keputusan keluar parti itu dibuat sebagai mewakili suara kebimbangan akar umbi terhadap tingkah laku kepemimpinan pusat DAP yang dilihat bercanggah serta tersasar dalam perjuangan sebenar parti politik berkenaan.


MELAKA: Genap sebulan selepas empat pemimpin DAP mengumumkan keputusan keluar parti, kejutan terus berlaku kepada kepemimpinan DAP Melaka apabila 182 ahli parti itu mengambil langkah sama dengan keluar parti, hari ini.

Dalam sidang media di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Bebas di Kota Laksamana di sini, bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka, Liou Chen Kuang berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pendekatan DAP dalam menyelesaikan isu membabitkan empat bekas pemimpin parti negeri itu sebelum ini.

Katanya, keputusan keluar parti itu dibuat sebagai mewakili suara kebimbangan akar umbi terhadap tingkah laku kepemimpinan pusat DAP yang dilihat bercanggah serta tersasar dalam perjuangan sebenar parti politik berkenaan.

“Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, sendiri berulang kali mendakwa dengan merujuk bekas pemimpin DAP yang keluar parti sebagai ‘barah’ dalam parti, sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati akar umbi.

“Kata-kata kesat Kok Wai tidak boleh diterima kerana Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him sebagai contoh adalah ahli yang sudah berkhidmat dengan parti selama 35 tahun,” katanya pada sidang media yang dihadiri seramai kira-kira 20 bekas ahli DAP, di sini.

Selain pengumuman Chen Kuang yang juga bekas calon DAP bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, turut mengumumkan keluar parti adalah dalam kalangan pemimpin DAP di peringkat bahagian, cawangan dan ahli parti di negeri ini.

Pada 12 Februari lalu, empat wakil rakyat DAP di Melaka mengumumkan keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap kepemimpinan tertinggi dalam mengendalikan isu luaran dan dalaman parti.

Keputusan itu dibuat Tong Him; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Goh Leong San; Lim Jak Wong (Bachang) dan Chin Choong Seong (Kesidang).---BHONLINE. Gambar Petikan Bharian
© all rights reserved
made with by templateszoo