NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hormati pandangan mufti, jangan cela RUU 355 - Syed Ali

Semua pihak perlu menghormati pandangan mufti dan tidak berterusan mencela perhimpunan solidariti Rang Undang-Undang 355 (RUU 355). Pandangan mufti adalah yang terbaik kerana mereka memiliki kelayakkan dan berkedudukan tinggi dalam bidang agama.

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu menghormati pandangan mufti dan tidak berterusan mencela perhimpunan solidariti Rang Undang-Undang 355 (RUU 355).

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pandangan mufti adalah yang terbaik kerana mereka memiliki kelayakkan dan berkedudukan tinggi dalam bidang agama.

“Mufti di negara ini menyokog RUU 355 dan mereka menyifatkan perhimpunan itu sebagai luar biasa kerana dalam isu agama, ia boleh menyatupadukan umat.

“Jadi, tidak timbul tuduhan sesetengah pihak bahawa kalangan mufti bermain politik serta memihak kepada parti tertentu.

“Umat Islam yang mencintai syariat agama sudah semestinya amat berbangga melihat puluhan ribu umat Islam sanggup berhimpun di panas terik demi kepentingan agama mereka,” katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Syed Ali turut hairan kerana ada segelintir orang Islam berasa sakit hati, resah dan mencela RUU 355 termasuk melemparkan cercaan terhadap tokoh agamawan dan pemimpin Islam yang hadir pada perhimpunan tersebut.

“Ini bukan soal politik, ini membabitkan kepentingan agama dan syariat Islam.

“Sesetengah pihak termasuk apa yang dipanggil Melayu liberal diminta tidak mencela dan mempertikaikan perhimpunan yang dihadiri lebih 300,000 umat Islam di Padang Merbok, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

“Jangan lemparkan celaan dan penghinaan terhadap perhimpunan RUU 355, perhimpunan tersebut adalah kebangkitan umat untuk menegakkan syariat Islam,” tegasnya.

Malah tegasnya, RUU 355 tidak ada mengena kepada bukan Islam.

“Saya kecewa kerana orang Islan yang berpendidikan tinggi termasuk pemain politik menentang pindaan tersebut.

“Pindaan terhadap RUU 355 untuk memperkasakan institusi mahkamah syariah supaya berada di kedudukan tertinggi, tidak lagi diperlekehkan sesetengah pihak,” tegasnya.

Menurut beliau, perhimpunan tersebut telah menzahirkan kesediaan umat Islam untuk bangun bersatu dengan mengetepikan sentimen politik demi kepentingan agama.

“Ini satu isyarat jelas betapa umat Islam boleh bersatu dalam sesuatu keadaan bila mana kepentingan Islam diganggu atau tercabar,” tegasnya.

Syed Ali juga menolak dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa perhimpunan RUU 355 sebagai platform politik PAS untuk meraih undi.

“Pada hemat saya, tidak mungkin PAS berniat sedemikian, tetapi terpulang kepada beliau (Dr Mahathir) untuk membuat penilaiannya,” ujar beliau.

Mengenai desas-desus bahawa akan berlaku kerjasama politik membabitkan UMNO dan PAS, beliau berkata pelbagai andaian akan dibuat oleh banyak pihak.

“Ada yang kata melihat kejayaan perhimpunan RUU 355 yang membabitkan penyertaan pemimpin UMNO dan PAS, kerjasama itu akan berlaku, ini andaian semata-mata. “Jika kerjasama itu menjanjikan kebaikan dan bermanfaat kepada orang Melayu dan umat Islam, sewajarnya diberikan sokongan,” ujarnya.---Astro Awani
© all rights reserved
made with by templateszoo