Pinda Perkara 1(2): Mengapa nak undur ke belakang?

BANGI, 8 Rejab 1440H, Jumaat – "Setelah 56 tahun kita bersama, mengapa harus berundur ke belakang, kemudian balik kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), adakah itu kira perlu?"

Demikian persoalan dibangkitkan penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mengulas keputusan kerajaan untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung.

Beliau berkata, pindaan itu akan melibatkan banyak perkara termasuk soal bahasa, agama, kedudukan dalam Parlimen, kedudukan Raja-Raja Melayu dan pelbagai lagi.

"Jadi mengapa mahu pinda? Hujah mereka satu saja iaitu perasaan tidak puas hati terhadap pembangunan di Sabah dan Sarawak yang tidak seiring dengan Semenanjung.

"Jika perasaan tidak puas hati hanya kepada pembangunan tak seimbang, kuasa autonomi, soal bahasa yang mereka mahu guna bahasa Inggeris, atau agama. Adakah itu hanya persoalan?," katanya dalam Forum Perlembagaan Persekutuan di Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Mengulas lanjut, Prof Agus mengakui bimbang sekiranya tuntutan mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam MA63, hanyalah sentimen pihak tertentu semata-mata.

"Kalau kita ikut Perkara 7 dalam Perjanjian 20 Perkara Sabah iaitu hak untuk menarik diri, bagi orang yang memperjuangkan MA63, mereka berhujah bagaimana boleh tiada hak untuk berpisah.

"Malah, jelas ada Pertubuhan Sabah Sarawak Keluar Malaysia. Kalau baca apa yang mereka tulis, mereka menuntut untuk berpisah.

"Memang itu tak akan berlaku dan bukan tuntutan Sabah dan Sarawak sekarang. Bagaimana pula 20 tahun akan datang. Adakah boleh dijamin perkara ini tidak berlaku?," soalnya.

Pada masa sama, Prof Agus tidak menolak kemungkinan akan berlaku kesan kepada sistem pendidikan di antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.

Beliau berkata, sekiranya dilihat Perkara 15, ia menyatakan sistem pelajaran Borneo Utara yang wujud sekarang harus diteruskan, dan perlu diletakkan di bawah kawalan kerajaan negeri.

"Yang ini menjadi isu utama. Sentimen ini ditiupkan kepada rakyat kalau 'revert' balik, sistem pendidikan akan menjadi di bawah kawalan negeri.

"Bagaimana kita nak wujudkan satu integrasi nasional, kasih sayang dengan Sabah dah Sarawak. Adakah ini baik? Masalah apabila adanya sistem pendidikan yang berbeza dalam satu negara yang sama, kita takut keharmonian, kecintaan kepada negara musnah.

"Jadi saya harap kita dapat segera menyelesaikan permasalahan ini. Lebih cepat lebih baik, tak perlu pinda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan," katanya.


Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget