Petronas, PNS dapat dua ketua baharu mulai 15 Oktober


BANGI, 28 Muharram 1440H, Isnin – Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan pelantikan pegawai kanan baharu dua syarikat berkaitan kerajaan – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Perbadanan Nasional Bhd (PNS) – berkuat kuasa 15 Oktober ini.

PMO dalam satu kenyataan berkata, rakan kongsi PricewaterhouseCoopers Malaysia (PwC Malaysia), Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dilantik Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Petronas menggantikan Datuk Manharlal Ratilal yang telah berkhidmat selama 15 tahun.

Pada masa sama, Tengku Muhammad Taufik, 44 tahun, bersama dua lagi individu juga akan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas. Dua individu itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Siti Zauyah Md Desa, dan Pengarah Bahagian Makroekonomi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Zakiah Jaafar.

Tengku Muhammad Taufik ialah ahli Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales dan Institut Akauntan Malaysia.

Sejak tahun 2000 hingga 2012, Taufik berkhidmat dalam pelbagai jawatan di Petronas, termasuk audit dalaman, perancangan korporat, pembangunan perniagaan dan kewangan, dan ketua perancangan strategik.

Beliau sebelum ini adalah CFO SapuraKencana Petroleum Bhd (kini Sapura Energy Bhd) dari Disember 2012 hingga Januari 2015, dan pernah berkhidmat sebagai CFO Tanjong PLC.

Dalam perkembangan lain, PMO turut mengumumkan pelantikan Datuk Dzulkifli Fadzilah sebagai Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PNS) yang baharu menggantikan Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee.

Dzulkifli mempunyai ijazah perakaunan dari California State University dan sarjana kewangan dari Golden Gate University, San Francisco, Amerika Syarikat.

Beliau pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dari tahun 2011 hingga ke 2017, dan ahli jawatankuasa Skim Penyelesaian Hutang Kecil di Bank Negara Malaysia.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan, penangguhan pelantikan peguam Datuk Syed Zaid Albar sebagai Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dari 15 Oktober ini ke 1 November.

Berikutan itu, tarikh persaraan Pengerusi SC, Tan Sri Ranjit Ajit Singh juga akan dilanjutkan kepada 31 Oktober setelah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget