NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penduduk tempatan sewa tanah kepada Rohingya RM2,000 setahun



  • Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, siasatan mendapati pemilik tanah dan kediaman berkenaan adalah dua pesara guru yang tidak menetap di kampung terbabit.
  • “Hasil temu bual mendapati, mereka menyewa tanah berkenaan pada kadar RM2,000 setahun manakala kediaman berkenaan disewa pada kadar RM300 sebulan,” katanya.
  •  Hilmi berkata, pemeriksaan turut mendapati tanah terbabit digunakan sebagai kawasan tanaman sireh dan penempatan, sedangkan syarat nyata kegunaan tanah bagi lot berkenaan adalah untuk tanaman getah dan dusun.

KOTA BHARU — Tanah milik penduduk tempatan yang disewakan kepada komuniti Rohingya pada kadar RM2,000 setahun dikenal pasti dijadikan ladang sireh di Kampung Padang Guchil, di sini.

Perkara itu didedahkan hasil siasatan kerajaan Kelantan terhadap aktiviti penanaman sireh oleh komuniti berkenaan, dengan ladang terbabit sudah disita pada Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, siasatan mendapati pemilik tanah dan kediaman berkenaan adalah dua pesara guru yang tidak menetap di kampung terbabit.

Katanya, keterangan kedua-dua pemilik sudah direkodkan susulan pemeriksaan penguat kuasa di kawasan berkenaan minggu lalu.

“Hasil temu bual mendapati, mereka menyewa tanah berkenaan pada kadar RM2,000 setahun manakala kediaman berkenaan disewa pada kadar RM300 sebulan,” katanya.

Hilmi berkata, pemeriksaan turut mendapati tanah terbabit digunakan sebagai kawasan tanaman sireh dan penempatan, sedangkan syarat nyata kegunaan tanah bagi lot berkenaan adalah untuk tanaman getah dan dusun.

“Berhubung laporan isu tular membabitkan penyewaan tanah milik warga tempatan kepada komuniti Rohingya, kita sudah menjalankan siasatan awal dengan penguat kuasa turun ke lapangan pada minggu lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat struktur binaan dan aktiviti penempatan di atas tanah milik berkenaan yang digunakan sebagai tempat kediaman serta kawasan tanaman sireh.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, syarat nyata kegunaan tanah bagi lot-lot berkenaan adalah untuk tanaman getah dan dusun,” katanya.

Susulan penemuan itu, kerajaan negeri mengarahkan kerja pembersihan tanah dihentikan kerana tiada kebenaran merancang bagi ladang terbabit, selain menghentikan pembinaan sebuah bangunan yang dipercayai untuk kegunaan stor.

Tindakan penyitaan turut membabitkan sebuah kediaman yang masih dalam pembinaan di kawasan berkenaan.

Dalam pemeriksaan sama, empat individu etnik Rohingya ditemukan berada di lokasi terbabit, namun hanya seorang mengemukakan kad UNHCR, manakala tiga lagi tidak mengemukakan sebarang dokumen.

Hilmi menjelaskan, urusan berkaitan keberadaan etnik Rohingya bukan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Pejabat Tanah.

“Keberadaan etnik Rohingya bukan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Pejabat Tanah dan bagi kes berkenaan, hanya itu tindakan yang boleh diambil,” katanya.

Sebelum ini, NSTP melaporkan kewujudan ladang sireh seluas lebih dua hektar yang didakwa diusahakan komuniti Rohingya sejak beberapa tahun lalu menimbulkan keresahan penduduk setempat.

Kawasan yang dahulunya dikatakan hutan terbiar itu berubah menjadi ladang sireh dengan junjung kayu tersusun selepas disewa kepada komuniti berkenaan, manakala hasil tanaman difahamkan dijual kepada pemborong.

Penduduk turut mendakwa jumlah etnik Rohingya di kampung berkenaan meningkat daripada kira-kira 15 orang lebih sedekad lalu kepada hampir 100 orang ketika ini.-The Merdeka Times






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo