NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hannah komited pelihara kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan



PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan komitmennya untuk memastikan kampung-kampung tradisi orang Melayu di Wilayah Persekutuan terus dipelihara dan tidak terpinggir dalam arus pembangunan pesat bandar.

Menurut beliau, pendirian serta rekodnya berhubung perkara itu boleh disemak menerusi hansard ketika memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen Segambut di Dewan Rakyat.

“Rekod saya telah nyatakan betapa pentingnya kampung tradisi orang Melayu dipelihara di Wilayah Persekutuan kerana kalau nak cari bangunan-bangunan komersial senang tetapi nak cari kampung tradisi sudah sukar,” katanya pada sidang media di Menara Seri Wilayah hari ini.

Terdahulu, Hannah mengimbas dan merakam kad perakam waktu tepat 8 pagi pada hari pertama memulakan tugas sebagai menteri bertanggungjawab ke atas Wilayah Persekutuan bersama timbalannya, Datuk Lo Su Fui.

Hannah mencipta sejarah apabila menjadi pemimpin berbangsa Cina pertama dan bukan Islam pertama yang memegang portfolio Wilayah Persekutuan sejak jawatan itu diwujudkan pada 1976.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan pendiriannya untuk terus menyuarakan kepentingan memelihara kampung tradisi orang Melayu adalah konsisten kerana kawasan berkenaan mempunyai nilai sejarah, budaya dan identiti yang tidak boleh digantikan dengan pembangunan komersial semata-mata.

Katanya, usaha pemeliharaan kampung tradisi perlu dijadikan sebahagian daripada perancangan pembangunan bandar bagi memastikan keseimbangan antara kemajuan dan pemeliharaan warisan dapat dikekalkan demi generasi akan datang.

“Tumpuan saya sentiasa kekal kepada dasar dan pelaksanaan serta hasil kerja dan bukan terhadap warna kulit saya. Akal dan hati saya sentiasa komited untuk berkhidmat kepada rakyat dan saya bersedia untuk bekerja dengan segera serta membiarkan rekod pencapaian menjadi bukti,” jelas Ahli Parlimen Segambut itu.

Dalam pada itu, Hannah memberi jaminan untuk meneruskan segala perancangan yang pernah direncanakan oleh bekas menteri terdahulu, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa. 

“Saya juga telah berbincang dengan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani. Saya yakin semua urusan yang telah dilakukan oleh mantan menteri iaitu Dr Zaliha akan kita teruskan,” janji Hannah.

Rabu lalu, Hannah mengangkat sumpah jawatan menteri bersama-sama enam menteri serta lapan timbalan menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, susulan rombakan Kabinet Kerajaan Madani. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo