NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengusaha Inap Desa Dapat Perlindungan Kenaikan Tarif Elektrik?

KUALA LUMPUR, 4 Februari – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini mengumumkan bahawa beliau akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar pengusaha inap desa dan 'kampungstay' dikecualikan daripada kenaikan tarif elektrik yang akan berkuat kuasa Julai depan.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata sektor inap desa dan 'kampungstay' telah menunjukkan perkembangan yang pesat, menarik hampir 830,000 pelancong domestik dan antarabangsa dengan janaan pendapatan sekitar RM54 juta pada tahun lalu.

"Saya akan meminta pengecualian kenaikan tarif elektrik terhadap pengusaha inap desa kerana mereka mewakili golongan 85 peratus rakyat yang tidak terkesan oleh kenaikan ini. Kenaikan tarif ini hanya membabitkan sektor perindustrian," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Inap Desa di Bangunan Parlimen.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, serta Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan menyatakan bahawa kenaikan tarif elektrik yang akan dilaksanakan pada bulan Julai nanti hanya akan memberi kesan kepada sektor perindustrian, manakala 85 peratus rakyat tidak akan terjejas.

Ahmad Zahid menambah, kerajaan mensasarkan sejumlah 1.6 juta pelancong dengan janaan pendapatan sekitar RM100 juta untuk sektor inap desa dan 'kampungstay' pada tahun ini.

"Tahun ini, kita akan memberi fokus kepada program pertukaran pelajar antarabangsa, terutama dari negara-negara ASEAN, untuk menginap di inap desa dan 'kampungstay'," tambahnya.

Beliau juga menyedari terdapat kekangan yang dihadapi oleh pengusaha sektor ini, terutamanya dari segi infrastruktur dan kemudahan. Justeru, jawatankuasa tersebut akan berusaha mencari penyelesaian termasuk meneruskan pemberian kursus kepada usahawan dan pengusaha sektor ini.

Sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, Ahmad Zahid menyatakan bahawa penting untuk mempromosikan penginapan di kawasan desa dan luar bandar, yang seiring dengan kemudahan penginapan di bandar seperti hotel, serta mempamerkan budaya dan keindahan semula jadi Malaysia.


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo