RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata kerajaan mesti bertindak pantas untuk mengekalkan kepercayaan dan sokongan masyarakat India.
“Sejak kebelakangan ini kaum India di Malaysia, terutamanya penyokong tegar PMX menyatakan kebimbangan mereka.
“Saya risau bahawa mereka ini yang merupakan pengundi dan penyokong yang menyokong seratus-peratus PMX mungkin merasakan bahawa perkara-perkara yang melibatkan kaum India tidak diberi perhatian yang sewajarnya,” katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat.
Beberapa pihak, khususnya pembangkang, mendakwa sokongan kepada kerajaan dalam kalangan pengundi India semakin berkurangan, mengambil contoh isu kegagalan menambah peruntukan tahunan untuk Mitra.
Komuniti itu merupakan blok undian yang penting dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada Mei tahun lalu, lantas pihak yang terlibat berusaha menarik sokongan mereka.
Pada Mei tahun lalu, Anwar menolak dakwaan bahawa Putrajaya tidak membantu masyarakat itu, dengan berkata pelbagai inisiatif yang bertujuan memperkasakan masyarakat India membuktikan mereka tidak pernah diketepikan.
Rayer menggesa kerajaan persekutuan membiayai projek kereta kabel yang menghubungkan kaki bukit air terjun ke kuil puncak bukit di Pulau Pinang, memetik kesukaran yang dihadapi oleh warga emas yang meraikan Thaipusam kerana perlu mendaki lebih 500 anak tangga.
Beliau seterusnya menyeru bantuan kewangan untuk kuil di bawah Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang untuk membantu penyelenggaraan dan aktivitinya.
“Pulau Pinang yang jadi bank undi terbesar kepada perdana menteri dan tempat di mana beliau lahir akan terus yakin bahawa kerajaan kita yang dipimpin oleh Yang Berhormat Tambun (Anwar) memberi perhatian kepada isu-isu yang melibatkan rakyat Malaysia terutama kaum India beragama Hindu,” katanya.
Selain kebimbangan berkaitan komuniti India, Rayer turut menggesa naik taraf Masjid Jamek Jelutong, yang menurutnya amat sesak ketika solat Jumaat.
Beliau juga mahu balai bomba di Jalan Perak dan klinik kesihatan di seluruh Pulau Pinang dinaik taraf, mengatakan dua tempat itu perlu kemudahan lebih baik.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment