![]() |
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan GAMBAR: UtusanTV |
KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima dua laporan berkaitan bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berhubung dakwaan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepadanya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan tersebut dibuat pada 3 Februari oleh Timbalan Naib Canselor UKM (Hal Ehwal Pelajar) dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan).
"Ada, kita terima dua laporan petang semalam," katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan setakat ini dua individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.
Mohd. Ekhwan sebelum ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Canselor UKM, berkuat kuasa Ahad lalu. Beliau juga memaklumkan bahawa laporan polis serta kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dibuat bagi menangani dakwaan yang dianggap fitnah terhadapnya.
Dalam satu mesej yang dihantar, beliau menyatakan penghargaan kepada semua pihak, termasuk yang telah melemparkan tohmahan terhadapnya, sambil menegaskan bahawa tindakan undang-undang telah diambil.
Sebelum ini, terdapat tuduhan bahawa hasil audit universiti menunjukkan wujud salah guna kuasa, penyelewengan, serta ketidakpatuhan terhadap proses perolehan, yang didakwa mengaitkan nama Mohd. Ekhwan.
Menteri Pendidikan Tinggi Sahkan Peletakan Jawatan
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan Mohd. Ekhwan beberapa hari lalu.
Menurut Zambry, keputusan itu diterima kerana Mohd. Ekhwan ingin menumpukan perhatian kepada perkara lain selepas menyempurnakan tugasnya sebagai Naib Canselor UKM.
"Beliau telah menjalankan tugas dengan baik dan dihormati oleh rakan-rakan. Beliau juga telah disambung kontraknya, jadi mungkin merasakan sudah tiba masanya untuk meletakkan jawatan," katanya selepas merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.Mohd. Ekhwan dilantik sebagai Naib Canselor UKM pada 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2023 sebelum perkhidmatannya disambung semula.
Zambry turut menyatakan penghargaan atas sumbangan Mohd. Ekhwan sepanjang tempoh beliau menerajui UKM, sambil menegaskan bahawa pelantikan pengganti akan melalui proses biasa dan diumumkan kelak.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment