NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Batal PSI, PN didakwa ancam pembangunan Pulau Pinang – Joshua



GEORGE TOWN – Usaha pimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk membatalkan projek Pulau Pinang Selatan (PSI) didakwa akan menjejaskan pembangunan serta peluang pekerjaan kepada penduduk negeri itu.

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan PH selama 15 tahun telah berjaya mengubah Pulau Pinang menjadi destinasi pelancongan utama dunia, mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia dalam tempoh dua tahun dan disenarai sebagai negeri terkemuka daripada segi eksport.

Jelasnya, projek PSI pula akan berfungsi sebagai pemangkin ekonomi dengan tumpuan serta memberi manfaat kepada penduduk tempatan dan nelayan malah ia direka bentuk dengan teliti demi menjana peluang pekerjaan, menambah baik infrastruktur. 

“Kerajaan negeri sudah melaksana rancangan jangka panjang bagi memastikan pertumbuhan dan kemakmuran berterusan bagi Pulau Pinang malangnya PN yang diketuai Datuk Dominic Lau gagal menunjukkan sebarang rancangan berwawasan atau boleh dilaksanakan.

“Apatah lagi, timbalannya, Oh Tong Keong secara terbuka menyatakan sekiranya PN menguasai kerajaan negeri, mereka akan membatalkan projek PSI.

“Sedangkan dalam tempoh 18 bulan pertama tambakan, projek itu dijangka mewujudkan 600 pekerjaan marin dan berasaskan darat dengan keutamaan diberi kepada nelayan dan penduduk tempatan yang mencari pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Joshua berkata, nelayan aktif di Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar akan menerima bantuan berupa bot dan enjin yang lebih besar lengkap dengan aksesori selain bayaran ex-gratia.

Tambahan pula saluran navigasi dengan lebar minimum 250meter akan disedia, bagi memberi nelayan akses 24 jam ke laut tanpa mengira air pasang, katanya.

“Koperasi juga sudah ditubuh bagi melindungi kebajikan komersial nelayan dan mewujudkan peluang perniagaan kepada masyarakat setempat namun malangnya PN mengambil sikap anti-pembangunan, tidak menggalakkan pelaburan jangka panjang dan pertumbuhan ekonomi di Pulau Pinang.

“Adalah penting bagi PN mengetahui PSI menerima kelulusan selepas penilaian rapi yang mempertimbangkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk komuniti nelayan dan kumpulan alam sekitar.

“Pelan induk mengimbangi ekologi PSI direka bentuk bagi meningkatkan ekologi tempatan menerusi langkah seperti penanaman bakau, penempatan terumbu tiruan, pemasangan peranti pengagregatan ikan, pembinaan eko-pantai, pelepasan anak ikan dan udang dan pembiayaan untuk kajian marin,” katanya. – MalaysiaGazette






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo