NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ringgit terus melemah berbanding nilai wajaran



PETALING JAYA: Prestasi ringgit terkini iaitu di atas paras RM4.5 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) adalah tidak selari dengan nilai wajaran selepas mengambil kira perkembangan ekonomi negara dan dunia yang sepatutnya berada pada RM4.3 ke RM4.4 berbanding dolar.

Tahun lalu, ringgit yang berlegar di paras 4.500 hingga 4.700 meningkat ke paras 4.400 dalam tempoh dua bulan kepada 4.4910/5000 berbanding dolar selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Ringgit kemudian terus berlegar di paras 4.400 sehingga pernah mencecah 4.2410, prestasi terbaiknya sebelum kembali diniagakan pada 4.5225 berbanding dolar pada 8 Mac lalu.

Menurut Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, prestasi ringgit semasa banyak dipengaruhi oleh faktor global terutama pergerakan mata wang AS yang memberi kesan keseluruhan kepada pasaran kewangan global.

“Sepatutnya, ringgit boleh mengukuh pada paras 4.300 hingga 4.400 pada masa kini, namun banyak faktor mempengaruhi prestasi tersebut.

“Antara isu utama adalah kelulusan Senat untuk menaikkan lagi hutang kerajaan AS daripada kadar sekarang pada Jun nanti.

“Sekiranya tidak diluluskan, ia bakal memberi kesan yang besar kepada pasaran kewangan antarabangsa, bukan sahaja dolar akan merudum tetapi juga negara-negara yang mempunyai simpanan asing dalam dolar juga akan mengalami nasib yang sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS yang masih belum tamat juga dijangka terus mengukuhkan dolar AS sekali gus mengakibatkan prestasi ringgit terus melemah.

“Kenaikan kadar faedah oleh Fed AS tidak dijangka terhenti pada kenaikan terbaharu yang sudah mencecah 5.25 peratus. Kadar faedah tersebut akan terus meningkat kerana paras inflasi di AS masih tinggi.

“Jangkaan kenaikan faedah yang lebih tinggi dalam tahun ini turut memberi kesan kepada mata wang negara-negara seperti Malaysia kerana kenaikan kadar tersebut bakal mengukuhkan dolar, sebaliknya melemahkan mata wang asing lain,” ujarnya.

Justeru, Aimi Zulhazmi berkata, dengan keadaan itu, pasaran bon juga bertambah baik dengan peningkatan kadar faedah sebaliknya pasaran ekuiti seperti pasaran saham tidak begitu menarik pulangannya.

“Jadi, para pengurus dana asing terutamanya pasti lebih memilih untuk membeli bon-bon baharu AS yang kadar faedahnya lebih tinggi dan tetap.

“Pasaran ekuiti pula dipengaruhi oleh faktor ekonomi dan geopolitik yang tidak menentu lantas berlakulah penghijrahan dana pelaburan dari pasaran saham kepada pasaran bon AS.

“Perkara yang sama juga berlaku di Bursa Malaysia sama seperti bursa-bursa saham di negara lain,” ujarnya. – UTUSAN







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo