NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Putrajaya dikecam selepas menteri kesihatan nyahsenarai cecair nikotin


Keputusan itu dibuat walaupun terdapat bantahan keras daripada pakar perubatan, dengan salah satu kumpulan itu memberi amaran ia akan mencetuskan krisis kesihatan terbesar.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, bergambar bersama Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, ketika mesyuarat untuk menyahsenarai cecair nikotin sebagai bahan beracun walaupun mendapat bantahan keras daripada pakar perubatan. Gambar: Facebook

Pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima kecaman daripada pertubuhan perubatan selepas ia memutuskan cecair nikotin atau gel – bahan utama untuk produk vape – bukan lagi bahan kawalan di bawah Akta Racun.

Tindakan ini sebagai langkah memberi ruang kepada kerajaan untuk mencukai produk vape seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengumumkan pengecualian itu semalam walaupun mendapat bantahan keras daripada Persatuan Farmasi Malaysia, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia dan kumpulan kesihatan awam Galen Centre for Health and Social Policy.

Mengetuai bantahan itu ialah Galen Center yang terkejut dengan keputusan kerajaan, mengatakan ia adalah "langkah regresif luar biasa” yang menimbulkan persoalan mengenai komitmen Putrajaya terhadap kesihatan rakyat.

"Bagaimana kita yang menjadi pendahulu dalam menyokong dasar progresif yang bertujuan melahirkan generasi bebas rokok, kepada dasar yang menyahkawal selia nikotin dan menggalakkan pertumbuhan industri nikotin vape tempatan?" soal ketua eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib.

Galen Centre merujuk kepada usaha gigih kumpulan profesional kesihatan dalam kempen selama beberapa dekad ini untuk menghentikan tabiat merokok. 

"Sudah tentu sangat mengecewakan mereka apabila melihat perkara ini berlaku," katanya.

Keputusan Zaliha itu sangat berbeza dengan kempen anti-merokok dimulakan Khairy Jamaluddin sebelum ini, di mana beliau memulakan rang undang-undang bersejarah yang akan menyaksikan larangan pengambilan mana-mana produk tembakau atau penggantinya oleh mereka yang dilahirkan selepas 2007.

Rang undang-undang generasi “end game” itu bagaimanapun dikritik oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Anwar ketika beliau menjadi ketua pembangkang, yang berkata Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 mungkin melanggar "hak dalam Perlembagaan". 

Rang undang-undang itu tidak pernah diluluskan disebabkan kelewatan kerana pemimpin PH yang meminta jawatankuasa khas Parlimen untuk meneliti semula rang undang-undang itu.

Azrul berkata hari ini keputusan untuk menyahsenarai cecair nikotin sebagai racun direka bukan sahaja untuk menghalalkan e-rokok dan vape, tetapi juga menggalakkan lebih banyak peluang perniagaan untuk produk sedemikian supaya kerajaan dapat mengutip cukai daripada mereka.

Beliau berkata Putrajaya bergerak berlawanan dengan trend global yang mahu mengurangkan tabiat merokok dan vape.

“Keputusan kerajaan ini kini menjejaskan dan menghapuskan asas anti-tembakau di Malaysia.

"Malangnya, negara ini akan menyertai kumpulan negara eksklusif yang membalikkan atau mengabaikan langkah anti-tembakau yang bertujuan mengurangkan kelaziman merokok, bilangan perokok muda dan vaper, ketagihan nikotin, kanser, dan kematian pramatang," tambahnya. 

Beliau berkata langkah itu juga menunjukkan kerajaan terdesak untuk menjana lebih banyak hasil daripada kos kesihatan awam, sambil menambah ia membuka "pintu kepada masalah sedia ada dan baru". 

“Keputusan ini berkemungkinan menandakan permulaan salah satu krisis kesihatan awam terbesar di Malaysia: peningkatan dramatik dalam kalangan golongan muda dan kanak-kanak yang mengalami ketagih nikotin akibat vape. 

“Kita sudah pun melalui krisis penyakit tidak berjangkit dengan berjuta-juta orang yang menghidap diabetes, kanser, hipertensi dan obesiti. Ini akan menjadi yang seterusnya."

Azrul berkata status baru nikotin di Malaysia bermakna ia kini boleh diakses dengan mudah oleh semua termasuk kanak-kanak di bawah umur, tanpa menghalangnya dijual secara dalam talian.

Beliau memberi amaran walaupun berbilion ringgit dikutip daripada produk vape, hasil itu akan digunakan untuk merawat diabetes yang berpunca daripada penggunaan peranti elektronik itu. 

"Mereka yang menggunakan vape berisiko sebanyak 22% menghidap pradiabetes berbanding mereka yang tidak. 

“Menggalakkan vape akan meningkatkan bilangan pesakit yang menghidap diabetes, dan meningkatkan kos sistem penjagaan kesihatan," katanya.

Beliau berkata kerajaan harus berhenti memberi sebarang alasan lagi untuk menangguhkan pembentangan semula Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok.

"Tiada lagi alasan, itu dan ini. Vape perlu dikenakan cukai tetapi ia juga perlu dikawal selia dengan ketat seperti tembakau. Hanya itu boleh dilakukan dengan peruntukan yang terkandung dalam Rang Undang-undang.

"Kerajaan dan ahli Parlimen mesti mencari keberanian dan wawasan untuk meningkatkan dan melakukan perkara yang betul," kata Azrul sambil menambah kesihatan generasi akan datang menjadi taruhan.

"Suatu hari nanti, kita akan melihat kembali kemudaratan dan penderitaan yang disebabkan tabiat merokok dan vape, kematian pramatang, berbilion-bilion ringgit dibelanjakan, dan tertanya-tanya mengapa kita tidak bertindak lebih awal.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo