NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemimpin Amanah berhak beri pandangan namun mesti tunduk keputusan parti



KUALA LUMPUR – Pemimpin Amanah berhak untuk menyuarakan apa-apa pandangan namun mereka terikat dengan keputusan parti.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata,
setiap individu mempunyai kebebasan untuk memberikan pandangan sebagaimana hak yang diberikan dalam perlembagaan.

Pun begitu beliau menegaskan, dalam konteks organisasi pandangan individu tidak mewakili organisasi atau parti.

Melainkan pandangan berkenaan adalah keputusan rasmi yang diputuskan dalam mesyuarat parti tersebut.

“Parti Amanah Negara, PKR atau DAP yang bergabung di dalam Pakatan Harapan tertakluk kepada keputusan Pakatan Harapan yang perlu diutamakan jika bercanggah dengan keputusan parti.

“Begitu juga dalam konteks Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini, keputusan di peringkat gabungan kerajaan Perpaduan mengatasi keputusan parti-parti atau pakatan politik masing-masing dan ianya perlu diutamakan.

“Pemimpin Amanah berhak menyuarakan pandangan, tetapi mereka terikat dengan keputusan parti. Inilah ‘normal practice’ dalam mana-mana organisasi,” kata Mohamad.

Kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu hadir selepas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abd Samad mengenai pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak mengundang kemarahan pemimpin UMNO.

Mohamad menegaskan, semua pihak perlu menghormati sebarang keputusan yang buat oleh Yang di-Pertua Agong mengenai pengampunan diraja itu.

“Dalam kes yang melibatkan bekas Perdana Menteri keenam Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, kuasa tertinggi yang mempunyai hak untuk membuat keputusan adalah Yang di-Pertuan Agong.

“Maka semua pihak perlu menghormati sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong.

“Walaubagaimanapun, semua pihak yang menyuarakan pandangan dalam isu ini sayang kepada Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Perpaduan perlu memberi fokus kepada khidmat kepada rakyat sebagaimana yang diamanahkan,” kata Mohamad.

Khalid sebelum ini merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Najib.

Khalid berkata, Amanah berpendirian, hanya dengan cara itu sahaja nama baik negara dan komitmen untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dapat dijaga.

Katanya, AMANAH berpandangan, pengampunan kepada Najib akan menghantar mesej yang sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara negara ini dan juga kepada seluruh dunia berhubung sikap dan pendirian kita terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Ia akan merosakkan imej dasar Membangun Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan balas kemuadiannya dikeluarkan oleh beberapa pemimpin UMNO termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi Datuk Dr. Puad Zarkashi yang menyifatkan Amanah sebagai parti ‘kawan makan kawan’.

Menurutnya, desakan yang dilakukan Khalid menyebabkan Amanah hanya layak menjadi kawan dan bukan sebagai sahabat dalam perjuangan.-MalaysiaGazette






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo