Pesawat MH17 yang ditembak di lokasi nahas berhampiran perkampungan Hrabove (Grabovo) di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 20 November 2014. - Foto REUTERS
Pesawat MH17 yang ditembak di lokasi nahas berhampiran perkampungan Hrabove (Grabovo) di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 20 November 2014. - Foto REUTERS

MONTREAL: Menteri Luar Australia dan Belanda, berkata Majlis Penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengundi dan memutuskan untuk mendengar kes terhadap Russia berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada 2014.

Australia dan Belanda memulakan tindakan berhubung insiden MH17 tahun lalu di Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine yang dikuasai pemberontak dan didakwa oleh penyiasat serta pendakwa antarabangsa disebabkan peluru berpandu buatan Russia, yang membunuh semua 298 penumpang dan krew.

Australia berkata, Russia bertanggungjawab mengikut undang-undang antarabangsa dan membawa kes itu ke ICAO yang akan menjadi satu langkah ke hadapan dalam memperjuangkan keadilan buat mangsa, termasuk 38 warga Australia.

Menteri Luar Australia, Penny Wong dalam satu kenyataan, berkata ICAO mengekalkan bidang kuasanya untuk mendengar perkara itu ketika sesi pada Jumaat lalu.

"Keputusan ini adalah langkah penting dalam usaha kolektif kami untuk mengheret mereka yang bertanggungjawab di atas tindakan keganasan yang mengerikan ini," katanya.

Menteri Luar Belanda, Wopke Hoekstra pula menyifatkan keputusan untuk mendengar kes itu sebagai langkah penting untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan akauntabiliti.

"Bersama dengan Australia, kami akan terus melakukan segala-galanya untuk mencari pengakhiran untuk orang tersayang," katanya melalui ciapan di Twitter.

Russia menafikan sebarang pembabitan dalam insiden itu dan delegasi ICAO dari negara berkenaan tidak bersedia untuk memberikan ulasan.

Walaupun tidak dapat dipastikan hasil keputusan ICAO nanti, pakar berkata ia mungkin dilihat sebagai langkah selanjutnya untuk memaksa Russia berunding menerusi rundingan teknikal oleh 36 anggota Majlis Pentadbiran ICAO yang diadakan ketika Moscow berdepan kritikan semakin meningkat berhubung tindakannya berkaitan penerbangan berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine.

Pada Oktober tahun lalu, Russia gagal meraih cukup undi pada perhimpunan tiga tahun sekali ICAO untuk mengekalkan kerusi majlisnya.

Majlis itu juga menyelar Russia berhubung dwi pendaftaran untuk pesawat komersial, yang menurut badan itu bertentangan dengan bahagian perjanjian utama yang menetapkan prinsip teras untuk penerbangan global.

ICAO yang berpangkalan di Montreal tidak mempunyai kuasa mengawal selia tetapi memegang dorongan moral dan menetapkan piawaian penerbangan global yang diterima pakai secara meluas oleh 193 negara anggotanya, walaupun ia beroperasi merentasi halangan politik. - REUTERS