KAMI bersama masyarakat tempatan merasa terkejut besar dan sangat pelik bila mendapat berita tersebut.

Kepelikan ini menjadi viral dan sangat hangat dibincang dan dipertikaikan di dalam grup-grup WhatsApp kampung-kampung, WhatsApp alumni-alumni, WhatsApp keluarga-keluarga dan pelbagai lagi.

Sudahlah Labuan sedang hangat dan jerih dengan masalah bekalan air dan elektrik yang sangat kerap terputus…

Kini muncul pula kepelikan dan keganjilan isu pelantikan Senator Labuan yang baru bukan dari anak jati Labuan.

Persoalan besar dan panas yang riuh rendah dibangkitkan adalah;

1. Kenapa bukan dari parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan dari Labuan yang dipilih seperti PKR, Umno, Warisan dan lain-lain?

2. Adakah anak tempatan tidak layak? Atau tidak ada?

3. Bagaimana mungkin orang yang bukan menetap di Labuan merasai dan menghayati keperitan dan keperluan rakyat Labuan?

PAS Labuan sedar dan maklum bahawa lantikan Senator ini adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Namun, normal procedure, parti-parti komponen Kerajaan Persekutuan telah menghantar senarai kepada Perdana Menteri ke-10 (PMX),  dan PMXlah yang memuktamadkan final candidate kepada YDPA.

PAS Labuan mendapat maklumat daripada parti-parti komponen PH-BN bahawa mereka telah menghantar senarai nama calon kepada PMX, namun mereka tidak dipilih untuk menggalas jawatan tersebut.

PAS maklum dan tahu procedure sebelum diperkenan oleh YDPA, malah semua rakyat pun tahu.

Persoalan besar ialah kenapa PMX tidak memilih pemimpin dari parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan yang ada di Labuan? 

PAS Labuan berpandangan PMX perlu perjelaskan dan menjawab persoalan tersebut kepada rakyat Labuan.

Sudahlah Menteri Wilayah Persekutuan yang juga untuk Labuan telah ditiadakan oleh Kerajaan Madani, kini rakyat Labuan dipinggirkan pula untuk menjadi pembawa suara mereka di Dewan Rakyat.

Ke mana Labuan selepas ini? Halatuju Pulau Labuan kini semakin hari semakin kabur, pelik dan penuh kesamaran serta semakin sarat dengan pelbagai persoalan.

HAJI HAMIR ZAHARI
Yang Di-Pertua
PAS Kawasan Labuan