NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

5,695 kes usahawan bankrap sepanjang tahun lalu

KUALA LUMPUR – Jumlah kes kebankrapan melibatkan usahawan pada tahun lalu merekodkan penurunan kepada 5,695 kes berbanding tahun 2021 yang mencatatkan sebanyak 6,554 kes.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, ia susulan pindaan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) iaitu peruntukan perenggan 5(1)(a) Akta 360 melalui Akta Insolvensi (Pindaan) 2020 [Akta A1624] yang telah diwartakan pada 22 Oktober 2020 dan berkuat kuasa sejak 1 September 2021.

Katanya, melalui pindaan tersebut, nilai had minimum keberhutangan dinaikkan kepada RM100,000.

“Sebagai usaha membantu mengurangkan kadar kebankrapan dalam kalangan usahawan, kerajaan telah memperkenalkan Perkiraan Sukarela atau Voluntary Arrangement dengan izin di dalam Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] yang mula berkuat kuasa pada 6 Oktober 2017.

“Penghutang boleh memohon perintah interim daripada mahkamah untuk penggantungan prosiding kebankrapan sementara rundingan diadakan di antara penghutang dengan pemiutang berhubung pelan cadangan bayaran balik hutang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung langkah jangka panjang diambil bagi mengurangkan kadar bankrap dalam kalangan usahawan Bumiputera serta meningkatkan kemampanan golongan tersebut.

Dalam pada itu, Ewon berkata, MdI telah dan sedang melaksanakan pelbagai program bagi mewujudkan kesedaran masyarakat tentang isu muflis dengan melaksanakan program bersama masyarakat serta MdI Prihatin.

“MdI juga menggunakan saluran sosial media bagi penyampaian maklumat yang berkaitan dan antara kumpulan sasar yang difokuskan adalah daripada golongan usahawan Bumiputera.

“Selain itu bermula 1 Mac 2023, kerajaan juga telah melaksanakan inisiatif untuk melepaskan individu yang bankrap bagi kategori hutang berskala kecil iaitu jumlah tuntutan hutang yang diperakukan dengan jumlah RM500,000 dan ke bawah dengan bersyarat,” katanya.

Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web www.mdi.gov.my. – KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo