NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

10,000 perniagaan India berisiko ditutup, kata kumpulan

Kerajaan membeku pengambilan pekerja asing untuk tiga sektor, termasuk tukang gunting rambut. (Gambar Bernama)


KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 perniagaan India dalam tiga sektor mungkin terpaksa ditutup kerana pas lawatan kerja sementara (PLKS) untuk baki pekerja asingnya akan ditamatkan secara berperingkat, kata sebuah kumpulan perniagaan India.

N Gobalakrishnan, presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) berkata, tiga sektor itu ialah tukang emas, tekstil dan tukang gunting rambut.

Tiga sektor itu tidak mempunyai pekerja asing mencukupi akibat pembekuan sejak 2009.

Gobalakrishnan berkata, pekerja asing sedia ada menggunakan pas kerja sementara yang diperbaharui setiap tahun.

“Jadi, dengan pengumuman baharu itu, kemungkinan 10,000 perniagaan ini akan ditutup dalam masa sembilan hingga 10 bulan,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata, mereka menerima surat bertarikh 28 Feb lalu daripada Jabatan Imigresen memaklumkan ia akan menamatkan pas untuk pekerja asing.

Dalam surat yang dilihat FMT, ia menyatakan tarikh akhir untuk melanjutkan pas ialah 15 Mac ini, walaupun pas itu belum mencapai tempoh sah maksimum 13 tahun.

Surat itu turut menggesa majikan memastikan semua pekerja asing dihantar pulang sebelum tamat tempoh sah pada 2024.

“Mereka (kerajaan) nampaknya tidak memahami isu itu atau mereka cuba kata ia bukan sektor utama dan tidak boleh memberi sumbangan besar kepada ekonomi atau keluaran dalam negara kasar (KDNK).”

Gobalakrishnan berkata, MAICCI berulang kali menggesa kerajaan terdahulu membatalkan pembekuan itu. Kumpulan itu mewakili lebih 17,000 perniagaan India di seluruh negara.

“Justifikasi kerajaan untuk mengutamakan orang tempatan tidak masuk akal kerana kebanyakan mereka tidak berminat atau tiada kemahiran diperlukan untuk bekerja dalam sektor ini.”

Januari lalu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji keperluan memperluaskan kelulusan untuk pekerja asing ke sektor lain, tiga bulan selepas pelaksanaan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.

Katanya, pelan itu kini merangkumi sektor dan subsektor pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran saja).

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pula dilaporkan berkata, pelan itu membenarkan majikan mengambil pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa perlu memenuhi syarat kuota dan prasyarat kelayakan pekerjaan.

Katanya, beliau akan mengetuai delegasi terdiri daripada wakil kementeriannya, Kementerian Sumber Manusia dan agensi kawal selia ke 15 negara sumber terpilih bagi membincangkan aspek keselamatan serta kebajikan pekerja asing di Malaysia.


Sumber | FMT Malaysia








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo