PROSTAT adalah salah satu kelenjar penting yang hanya ada dalam sistem reproduktif lelaki. Kelenjar prostat adalah organ bersaiz kacang walnut di bawah pundi kencing yang bertanggungjawab menghasilkan air mani dan membantu mengawal aliran air kencing.
Justeru, sebut sahaja mengenai kanser prostat, pastinya ia membuatkan golongan lelaki berasa gusar kerana kesannya berisiko melunturkan nilai 'kejantanan' seseorang.
Konsultan Urologi dan Pakar Bedah Robotik dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Badrulhisham Bahadzor menjelaskan, secara umumnya golongan lelaki yang sudah berusia lebih berisiko mendapat kanser prostat.
Beliau berkata, peningkatan usia adalah salah satu faktor utama, selain menjelaskan ia jarang berlaku kepada lelaki yang berusia kurang daripada 50 tahun.
"Risikonya akan meningkat seiring dengan pertambahan usia seseorang itu. Secara anggaran, pesakit kanser prostat berumur 50 tahun ke atas mendominasi lebih 65 peratus. Golongan muda juga boleh menghidapnya, tetapi ia sangat jarang berlaku.
"Kanser prostat boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan kebanyakannya disebabkan oleh tiga faktor utama. Pertama, peningkatan umur. Kedua adalah bangsa, orang Amerika atau Caribbean berbangsa Afrika lebih berisiko berbanding kita sebagai orang Asia.
"Faktor terakhir ialah keturunan. Sekiranya ada ahli keluarga yang sedang atau pernah menghidapnya, risiko mendapat kanser prostat boleh meningkat sebanyak dua hingga tiga kali ganda. Jadi, mereka perlu lebih berjaga-jaga," tegasnya.
Tiada petanda awal
Infografik menunjukkan kedudukan kelenjar prostat dalam sistem reproduktif lelaki dan tahap pertumbuhan tumor.
Lebih membimbangkan, kanser prostat tidak mempunyai petanda awal dan keadaan mungkin sudah menjadi teruk tanpa disedari.
Oleh itu, beliau mengingatkan golongan lelaki supaya peka dengan tahap kesihatan masing-masing, selain menasihati individu yang sudah mencecah umur 50 tahun supaya menjalani ujian saringan secara berkala terutama jika terdapat ahli keluarga yang menghidapnya.
"Gejala seperti kencing tidak lawas, kencing berdarah atau air mani bercampur darah, mungkin sebenarnya disebabkan oleh penyakit selain daripada kanser prostat. Antara gejala besar adalah tulang menjadi rapuh terutama di bahagian tulang belakang kerana merebaknya sel kanser ke bahagian ini. Ia boleh menyebabkan rasa sakit tulang dan mudah patah.
"Oleh itu, melakukan pemeriksaan secara konsisten adalah penting untuk mengenal pasti penyakit pada peringkat awal sebelum ia merebak dan peluang untuk sembuh juga lebih tinggi," kata Dr Badrulhisham.
Dari segi rawatan, beliau berkata terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan dan ia bergantung kepada tahap kanser seseorang pesakit.
"Sekiranya penyakit masih di peringkat awal, pemantauan setiap beberapa bulan boleh dilakukan kerana kanser tidak akan mengancam nyawa atau membahayakan kesihatan pesakit (kanser tidak agresif). Namun, jika ada ciri-ciri agresif biarpun pada peringkat awal, rawatan yang diberikan juga perlu agresif seperti pembedahan prostatektomi atau radioterapi.
"Rawatan radioterapi atau radiasi akan mengambil masa kira-kira lima hingga sembilan minggu, bergantung kepada jumlah dos yang diperlukan," katanya.
Dr Badrulhisham berkata, kebiasaannya doktor akan menyarankan kaedah robotik bagi pesakit yang memilih kaedah pembedahan prostatektomi kerana risiko yang kecil berbanding pembedahan terbuka dan tempoh pemulihannya juga lebih cepat.
Beliau turut menggalakkan, amalan hidup sihat seperti tidak mengambil makanan dengan lemak tinggi, jaga berat badan ideal, tidak merokok serta menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan suplemen yang tidak ada kesahihan keberkesanannya.
Masalah kesuburan
Sementara itu, Konsultan Obstetrik, Ginekologi dan Pakar Fertiliti dari Sunway Fertility Centre, Dr Kannappan Palaniappan berkata, kanser berkaitan sistem urinari seperti buah pinggang, prostat, atau testis menjadikan seseorang itu lebih berisiko mengalami masalah kesuburan.
"Dari segi statistik atau kajian saintifik, individu yang mengalami masalah berkaitan sistem urinari mungkin boleh menyebabkan bilangan spermanya kurang.
"Pesakit atau bekas penghidap kanser prostat juga berisiko mengalami masalah kesuburan disebabkan oleh rawatan yang mereka jalani," kata Dr Kannappan.
Menurut Pengarah Klinikal Sunway Fertility Centre itu juga, jika pembedahan dilakukan, ia akan memberi kesan kepada masalah pengeluaran sperma dan kemungkinan besar keupayaan untuk melakukan hubungan seksual juga akan terjejas.
"Bagi mereka yang sudah dibuang prostat, peratusan untuk mendapatkan zuriat akan turut dipengaruhi. Menerusi pembedahan, kelenjar untuk mengeluarkan air mani akan terganggu.
"Rawatan secara radioterapi berisiko menjejaskan tahap kesuburan seseorang pesakit. Tisu dan kelenjar di bahagian prostat akan terganggu (fibrosis), sekali gus menyebabkan peratusan untuk mendapatkan benih kurang," kata Dr Kannappan.
Bagi mengelakkan sel kanser daripada terus merebak, pesakit perlu segera menjalani rawatan yang bersesuaian.
Perbankan sperma
Walau bagaimanapun, pesakit yang merancang untuk mendapatkan zuriat akan dinasihatkan oleh pakar ginekologi untuk melakukan kaedah perbankan sperma (sperm banking).
"Sebelum memulakan rawatan kanser, pakar ginekologi akan berbincang dengan pesakit terlebih dahulu sekiranya mereka ingin mempertimbangkan kaedah pembekuan sperma. Teknologi reproduktif ini boleh dilakukan oleh lelaki yang ingin menyimpan sperma untuk mendapatkan anak pada masa hadapan dengan cara rawatan persenyawaan tabung uji (IVF).
"Sebaik mendapat persetujuan, pesakit akan dibawa ke makmal untuk mengeluarkan air mani dan pakar embriologis akan mengeluarkan sperma sebelum membekukannya," jelas Dr Kannappan.
Biarpun rawatan kanser prostat berpotensi menjejaskan tahap kesuburan pesakit, ia sama sekali tidak akan mempengaruhi kesuburan pasangannya.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment