NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kempen ‘anti-Umno’ kini hantui PH di media sosial selepas ‘Langkah Seri Pacific’


Video, ceramah dan kempen "berapi-api” anti-Umno menghantui Pakatan Harapan (PH) di media sosial apabila kenyataan pemimpin mereka kini "dikitar semula" sebagai bahan jenaka oleh pengguna media sosial sebagai reaksi terhadap rundingan antara gabungan itu dan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan.

Tinjauan MalaysiaNow di Facebook, Twitter dan TikTok mendapati rata-rata pengguna platform media sosial itu "kurang senang" dengan pertemuan kedua-dua pemimpin gabungan politik itu di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur, yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia hari ini.

Orang ramai juga berkongsikan beberapa kenyataan yang dibuat contohnya laporan mengenai Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menyatakan akan menjadi individu pertama membantah sekiranya terdapat pakatan antara Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

"Tahniah pengundi PH, dapat penyamun sekali haa," kata pengguna Shalfarina Shahriman pada ruangan komen Facebook Pakatan Harapan.

"Dah agak mesti ada ayat 'untuk kepentingan negara dan rakyat'," tulis Al Syahid Syazwan.

Selain itu, lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi rap Altimet berjudul "Aduh Malaysia" juga tular sebagai sindiran pengguna media sosial terhadap PH apabila sanggup "duduk satu meja" dengan Zahid yang sedang menghadapi 47 pertuduhan kes mahkamah.

"Hoi hoi ya hoi... macam best pulak lagu ni," tulis Mohd Yazid yang memetik lirik lagu tersebut.

Ahli politik seperti Khairy Jamaluddin juga dilihat memuat naik video ucapannya ketika berkempen di Sungai Boleh yang mana ia disertakan kapsyen "1 undi KJ = 1 undi Zahid" sebagai sindiran memandangkan calon PH R Ramanan menang di kerusi Parlimen itu.

Sementara itu, Sasterawan Negara Zurinah Hassan turut membidas lirik lagu itu dan mengatakan:

"Depa dah panggil pencipta lagu buat lagu baru. Tak mahu dah nyanyi lagu Penyamun," tulisnya merujuk kepada lagu ciptaan penyanyi itu.

Namun begitu, ramai juga pengguna media sosial yang merupakan penyokong PH aktif mempertahankan tindakan kerjasama antara Anwar dan Zahid yang sedang cuba membentuk kerajaan baru di peringkat persekutuan.

Mereka menyifatkan usaha sama antara PH-BN adalah gabungan yang menjadi pilihan lebih "ideal" berbanding PH-Perikatan Nasional (PN) atau BN-PN walaupun menerima kecaman daripada pengguna media sosial lain.

Pada masa sama, beberapa akaun media sosial pemimpin PH yang aktif di media sosial kini senyap selepas menerima kritikan daripada pengguna media sosial.

Pagi tadi, gambar yang memperlihatkan pemimpin PH seperti Rafizi, Mohamad Sabu, Saifudin Nasution bersama Zahid dan Ismail Sabri tular di media sosial sebelum Anwar mengesahkan pertemuan itu pada satu sidang media yang diadakan pada hari sama.

Anwar dan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin masing-masing mendakwa mempunyai sokongan ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan dan menjadi calon perdana menteri.

Bagaimanapun, setakat ini, tiada pengesahan rasmi mengenai jumlah sokongan memandangkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah perkenan parti-parti politik mengemukakan gabungan parti politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baru dan pencalonan bakal perdana menteri dilanjutkan sehingga jam 2.00 petang esok.


Azzman Abdul Jamal
https://www.malaysianow.com/




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo