NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tommy didakwa lantik 23 peguam luar mewakili kerajaan tanpa ikut prosedur


KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas didakwa mengetepikan pegawainya sendiri dan melantik 23 peguam luar bagi mewakili kerajaan tanpa mengikut prosedur.

Menurut laporan Pasukan Petugas Khas (PPK) siasatan ke atas dakwaan dalam buku 'My Story: Justice in the Wilderness' tulisan Tommy, pelantikan begitu ramai peguam luar disifatkan sebagai 'tidak pernah berlaku' dalam sejarah perkhidmatan awam negara.

PPK turut menyifatkan pelantikan itu tidak wajar dan menimbulkan pertikaian kerana pelantikan mereka bagi mengendalikan kes berprofil tinggi secara langsung memberi peguam terbabit akses kepada dokumen dan maklumat sulit.

Antara yang dilantik ialah peguam British, Toby Landau dan Luke Parsons dari firma berpangkalan di Singapura dan Los Angeles bagi mengendali isu membabitkan diskriminasi minyak kelapa sawit oleh Kesatuan Eropah (EU).

Menurut PPK, Thomas dalam bukunya menyatakan bahawa peguam di Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai komitmen, semangat dan dorongan sebagai anggota Badan Peguam Malaysia.

PPK berkata, Tommy sebagai ketua jabatan perlu menyatakan cadangan untuk memperbaiki kelemahan, bukan dengan mengetepikan pegawainya dan melantik peguam luar.

Malah, PPK mengesyorkan supaya satu garis panduan patut ditetapkan khusus mengenai kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya dalam melantik peguam luar bagi mewakili kerajaan.

Katanya, garis panduan itu perlu dipastikan ketelusan dan integriti serta mengetepikan sebarang konflik kepentingan.

Dalam pada itu, STF mengesyorkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat peguam, Ganesan Nethi yang dilantiknya bagi mengendalikan kes berkaitan Goldman Sachs kerana terdapat konflik kepentingan.

Menerusi buku tulisannya, Tommy menggambarkan Ganesan sebagai bekas rakan kongsinya yang dilantik bagi membantu merangka semua pertuduhan terhadap Goldman Sachs.

Walaupun berpuas hati dengan penjelasan Jabatan Peguam Negara, STF berpandangan pelantikan bekas rakan kongsi itu berpotensi menyebabkan kes terbabit terbuka untuk semakan kehakiman atas dasar konflik kepentingan.

"Walaupun Ganesan menawarkan perkhidmatannya secara pro bono atau tidak dibayar, isu ganjaran ditakrifkan secara meluas dalam Akta SPRM 2009," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo