NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mesin penapis air milik Siti Bainun tidak rosak, kata saksi


KUALA LUMPUR –
Seorang Pegawai Penyiasat, Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa tiada kerosakan berlaku pada mesin penapis air milik pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Asisten Superintenden Rohaini Baharom berkata, dapatan itu diperoleh berdasarkan siasatan daripada kesemua dokumen yang diterima daripada syarikat penapis air.

Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-20 (SP-20) berkata demikian ketika prosiding kes Siti Bainun yang didakwa atas kesalahan menganiaya, mengabaikan Bella, 13, sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, saksi itu berkata, mesin penapis air tertuduh bagi tempoh Mac hingga Jun 2021 didapati tiada kerosakan.

“Ia berdasarkan dokumen yang diterima melalui e-mel daripada seorang ketua eksekutif sumber manusia syarikat penapis air itu pada 11 November 2021,” katanya.

Keterangan saksi pendakwaan itu menyanggah cadangan oleh peguam Siti Bainun sebelum ini bahawa Bella dipancut dan dicurah air panas adalah rekaan semata-mata kerana penapis air itu rosak sejak Mac 2021.

Sedangkan peguam itu berkata, remaja sindrom Down itu didakwa didera di antara Februari dan Jun 2021.

Sebelum ini, saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 19, memberitahu mahkamah bahawa Siti Bainun pernah mengarahkannya untuk mengambil picagari berisi air panas kemudian dipancutkan pada Bella.

Bagaimanapun pada prosiding selepas itu, remaja itu mengakui bahawa lecur pada badan Bella adalah disebabkan tumpahan air termos dan bukannya daripada mesin penapis air.

Sementara itu, Rohaini turut ditanya oleh seorang lagi peguam, Nurul Hafidzah Hassan mengenai dokumen penyelenggaraan mesin penapis air.

Nurul Hafidzah: Puan, rujuk ruangan tandatangan pada dokumen penyelenggaraan mesin penapis air ini, saya cadangkan itu bukan tandatangan Siti Bainun.

Rohaini: Tidak setuju.

Nurul Hafidzah: Maksudnya huruf ‘M’ itu tandatangan Siti Bainun?

Rohaini: Saya tidak pasti.

Nurul Hafidzah: Jadi, bagaimana puan tahu siapa yang tandatangan dokumen ini?

Rohaini: Berdasarkan pengesahan daripada juruteknik syarikat mesin penapis air.

Prosiding di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung petang ini.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo