NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

"Kluster Mahkamah" layak jadi calon - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin Umno yang dilabel “kluster mahkamah” tidak semestinya bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah, kata Setiausaha Agungnya, Ahmad Maslan.

Sehubungan itu katanya, pemimpin terbabit termasuk Presidennya Ahmad Zahid Hamidi yang masih berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi berhak bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pada 23 Sept lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Zahid daripada 40 tuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk menyambung kontrak berkaitan sistem visa luar negara (VLN).

Ahmad mendakwa kebanyakan pertuduhan terhadap pemimpin Umno termasuk dirinya yang berdepan tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak adalah bermotifkan politik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Jadi kita tunggu dan sabar terhadap segala keputusan (kes mahkamah) kerana ia mengambil masa,” katanya dalam temubual eksklusif dengan FMT di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Jadi bagi kes Zahid di mahkamah Kuala Lumpur (47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi), ia juga kemungkinan boleh berlaku sebagaimana di Shah Alam. Kita tunggulah.”

Ahmad yang juga bekas Ahli Parlimen Pontian berharap Zahid mendapat proses undang-undang yang adil bagi membersihkan namanya daripada segala tuduhan di mahkamah.

Beliau mengulas sentimen kluster mahkamah yang ‘mungkin’ dimainkan dalam kempen PRU15 termasuk tanggapan Zahid akan bebas jika Barisan Nasional (BN) menang.

Ahmad berkata pemimpin pembangkang juga terpalit kes mahkamah seperti Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang diarah bela diri atas empat pertuduhan, termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.

Menurutnya, 15 pemimpin mereka berdepan kes mahkamah telah dibebaskan ketika era pentadbiran PH antaranya Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

“Zahid pula tidak perlu bela diri, dilepaskan dan dibebaskan. Jadi kes mahkamah merata dan jangan tuduh (kepada) pemimpin Umno (sahaja),” katanya.


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo