NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Calon BN kena jalani tapisan PDRM, SPRM, kata PM tapi Zahid terkecuali?

Semua calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan menjalani tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Insolvensi Malaysia, dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu kali pertama diperkenalkan dalam PRU kali ini kerana parti tidak mahu sebarang isu berbangkit berkaitan pejabat agama yang membabitkan calon BN.

“Kalau dulu kita tidak ‘check’ perkara ini, …kali ini kita akan periksa,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Khas PRU-15 dan Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, hari ini, menurut BH.

Beliau mengulas mengenai tahap saringan untuk calon BN bagi PRU-15.

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini berdepan dengan 87 pertuduhan jenayah, termasuk rasuah, membabitkan jutaan ringgit.

Selain itu, beberapa pemimpin lain parti berkenaan juga sedang berdepan pertuduhan rasuah dan penyelewengan.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menolak keperluan untuk tiga calon Perdana Menteri mewakili tiga gabungan utama parti untuk berdebat kerana ia tidak mendatangkan apa-apa hasil.

Beliau menegaskan debat sebelum pilihan raya juga bukan budaya Malaysia dan tidak pernah dibuat sedemikian.

“Bukan budaya kita debat ini, tidak pernah dibuat dan dan tidak mendatangkan hasil,” katanya.

Beliau mengulas cadangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya diadakan debat terbuka tiga calon Perdana Menteri mewakili PH, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menjelang PRU15.

Anwar dalam Program Jelajah PH Pahang di Mentakab mencadangkan perkara itu supaya perbahasan itu perlu memberi tumpuan kepada soal dasar dan perancangan bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan.

Ismail Sabri berkata, jika debat terbuka itu dibenarkan akan dijadikan tempat untuk calon menabur janji dan manifesto.

“Bulan dan bintang pun dia akan sebut jadi tidak perlu dan selama ini kita bentuk kerajaan berdasarkan kepercayaan rakyat bukan satu jam debat itu.

“Saya tidak perlu berdebat sebelum pilihan raya dan kita sibuk di kawasan masing-masing,” katanya.

--- agendadaily

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo