NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Calon bebas kembali di Pengkalan Chepa selepas 48 tahun


Nota editor: Laporan ini dikemas kini bagi membetulkan fakta bahawa Pengkalan Chepa pernah ditandingi calon bebas pada 1974.


Mahu memberi pilihan alternatif kepada pengundi, seorang aktivis yang juga pengerusi Pertubuhan Kebajikan Khidmat Rakyat tampil menyatakan hasrat bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 di parlimen Pengkalan Chepa, Kelantan, sebagai calon bebas.

Dikenali sebagai 'Abe Wae' atau nama sebenarnya Mohamad Redzuan Razali, 48, dia terpanggil untuk menjadi calon bebas bagi mewakili badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memberi khidmat kepada masyarakat kawasan berkenaan.

"Saya terpanggil menjadi calon mewakili NGO bertanding dalam PRU ke-15 ini untuk memberi pilihan alternatif kepada pengundi Pengkalan Chepa selepas ada permintaan daripada penduduk setempat.

"Jadi kami sedar bahawa ada dalam kalangan pengundi kini mahukan pilihan baru yang calonnya bukan daripada parti-parti politik," katanya dalam sidang media selepas majlis pengumuman yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan malam tadi.




Majlis itu turut menampilkan barisan jenteranya dan turut dimeriahkan lebih 100 penyokong pelbagai peringkat usia.

Parlimen Pengkalan Chepa yang merupakan antara kubu kuat PAS di Kelantan, kali terakhir menyaksikan calon bebas bertanding pada 1974, iaitu 48 tahun lalu.

Sementara itu Mohamad Redzuan berkata, matlamat dalam penyertaan itu juga didorong oleh kerja-kerja kebajikan dan khidmat masyarakat yang dijalankan bersama NGO berkenaan.

Selain itu, katanya, dia menemui banyak kes penduduk setempat yang tercicir dan tidak menerima bantuan daripada pihak berwajib.

"Jadi antara matlamat kami adalah untuk mewujudkan satu sistem bantuan kepada golongan sasar agar tiada lagi keciciran atau terlepas pandang.

"Selain itu, Pengkalan Chepa sebagai sebuah kawasan berhampiran bandar perlukan pembangunan yang sewajarnya daripada aspek kemudahan infrastruktur dan fasiliti yang merakyat," jelasnya.




Tambah anak jati Pengkalan Chepa itu, pihaknya menyedari calon-calon lawan daripada parti-parti politik jauh lebih kuat, namun sekurang-kurangnya dia mencuba.

"Kalau nak kira parti, BN dengan PN ada nama besar kerana mereka sudah lama bertapak. Kalau nak kira jentera juga, mereka lebih kuat berbanding saya.

"Namun, jika nak kira tubuh badan calon, saya merasakan saya mempunyai peluang kerana saya sentiasa turun padang bersama golongan yang memerlukan," kata Mohamad Redzuan.


Sumber I Malaysiakini 


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo