NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

China sedia tingkat import minyak sawit Malaysia

Saifuddin (kanan) bergambar bersama Wang Yi selepas menghadiri mesyuarat dua hala antara Malaysia dan China hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: China bersedia mengimport lebih banyak minyak sawit, buah-buahan tropika dan produk pertanian lain dari Malaysia, kata Menteri Luarnya, Wang Yi.

Wang Yi yang kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia sejak semalam, berkata usaha sedang diambil untuk membolehkan kumpulan pertama pelajar Malaysia kembali ke China dan menyambung semula pengajian secepat mungkin.

Beliau berkata, kedua-dua pihak juga merancang meningkatkan jumlah penerbangan terus antara China dan Malaysia selaras dengan aspirasi kedua-dua negara.

"Kami yakin memandangkan situasi COVID-19 semakin terkawal, rakyat antara kedua-dua negara boleh melawat antara satu sama lain sekerap mungkin, antara ahli keluarga dan saudara-mara," katanya mengenai usaha mempertingkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang termasuk hubungan antara rakyat.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang diadakan selepas mesyuarat dua hala, di sini, hari ini.

Wang Yi berkata, kedua-dua negara juga akan memanfaatkan peluang ditawarkan sempena Ulang Tahun Ke-10 Penubuhan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia, bagi mewujudkan zon perintis terhadap kerjasama ekonomi dan perdagangan yang inovatif serta demonstrasi kerjasama menerusi Inisiatif Jalur dan Lalaun (BRI).

"Kita akan memacu pertumbuhan baharu dalam ekonomi digital serta bidang lain supaya berdaya saing dan tahap pembangunan dapat dipertingkatkan secara bersama," katanya.

Wang Yi berkata, beliau dan Saifuddin turut membincangkan Pelan Tindakan Malaysia-China bagi jalinan ketersambungan dan akan menggandakan usaha untuk memajukan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta pembangunan di sepanjang laluan itu.

"Kami akan terus berhubung mengenai pembinaan landasan kereta api Singapura-Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua negara juga menantikan laluan tengah rangkaian kereta api Pan-Asia dapat disiapkan demi mencapai pembangunan saling berkait dan mempercepatkan proses integrasi serantau melalui ketersambungan kereta api China, Laos dan Thailand.

Sementara itu, Wang Yi berkata, beliau kagum dengan kek keju Musang King yang dihidangkan ketika pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

"Perdana Menteri menghidangkan kek keju Musang King sebagai pencuci mulut dan hidangan itu sangat lazat. Saya sangat kagum," katanya. – BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo