NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahli akar umbi PKR mahu perubahan'

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun

REMBAU: Kemenangan muka baharu daripada golongan muda pada Pemilihan PKR 2022 membuktikan kehendak ahli parti dan kalangan akar umbi yang mahu melihat parti sentiasa bersifat remaja.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata keputusan itu juga menunjukkan ahli mahukan perubahan.

"Ahli parti menunjukkan mereka berani membuat keputusan dan mahukan perubahan, sekali gus membuktikan orang lama tidak semestinya boleh bertahan.

"Mereka mahukan parti sentiasa bersifat remaja. Kita sedia maklum ahli PKR sekarang sudah mencecah 1.1 juta dan sebahagian besarnya adalah anak muda.

"Jadi, kita rasa mereka mempunyai hak untuk menentukan masa depan parti dan melalui keputusan yang dibuat (pemilihan) menunjukkan mereka mahukan perubahan itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO dan Pelancaran Led Billboard serta Perkhidmatan Bas Henti-Henti Luar Bandar Rembau dan Tampin di Rembau Waterfront di sini, petang ini.

Aminuddin yang memenangi jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan berkenaan, berkata pihaknya mengakui kuasa golongan muda dilihat menguasai pada pemilihan parti itu kali ini.

Beliau berkata, ini dapat dilihat menerusi calon memenangi jawatan Naib Presiden dan ketua cabang bukan saja di Negeri Sembilan, malah di beberapa negeri lain.

"Saya nampak golongan muda menguasai dalam membentuk saf kepemimpinan baharu parti kali ini dan sebagai contoh bagi jawatan Naib Presiden, saya seorang yang lebih tua iaitu berusia lebih 50 tahun.

"Berbanding calon lain yang menang sekitar usia 41, 42, 44 tahun dan jelas itu kehendak mereka. Kita sedia maklum Timbalan Presiden (Mohd Rafizi Ramli) juga muda daripada saya.

"Ini menunjukkan ada golongan muda, ada juga golongan dewasa (melebihi 50) dalam parti ini, sekali gus bukti semua mempunyai hak menentukan masa depan parti," katanya.

Aminuddin yang juga menang jawatan Ketua Cabang Port Dickson, berkata menerusi keputusan pemilihan PKR setakat ini menunjukkan parti sentiasa ada pembaharuan.

Beliau berkata, kehendak dan keputusan yang dibuat ahli menunjukkan mereka tidak terkesan dengan reputasi individu tertentu.

"Mereka berani membuat keputusan bagi mencorakkan sendiri parti, jadi saya serahkan kepada ahli kita menentukan hala tuju selepas ini dan saya yakin inilah yang terbaik.

"Hakikatnya jelas pimpinan tidak boleh mengikat ahli bawahan terhadap perubahan yang mereka kehendaki," katanya.

Pada Pemilihan PKR 2022 di Negeri Sembilan, tujuh muka baharu menerajui jawatan ketua cabang kecuali satu cabang dimenangi penyandang iaitu Datuk Ismail Ahmad yang juga Ahli EXCO negeri bagi Ketua Cabang Rasah.

Keputusan tidak rasmi pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR menyaksikan Mohd Rafizi Ramli jauh meninggalkan pesaingnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas beliau memperoleh 64,423 undi dan menguasai 13 negeri.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru pula di belakang dengan mendapat 47,140 undi, ketinggalan 17,283 undi.

Mohd Rafizi juga mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Cabang Pandan.


Sumber | BH Online






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo