NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saya kecewa muka sama dilantik semula, kata Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kecewa dengan barisan kabinet baharu yang dibentuk di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - ASTRO AWANI / SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kecewa dengan barisan Jemaah Kabinet baharu yang dibentuk di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini kerana kata beliau, barisan menteri yang dilantik menyamai era pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tidak membuktikan sebarang pencapaian semasa di dalam kerajaan sebelum ini.

“Saya dapati bahawa tidak banyak perbezaan (lantikan menteri) daripada kabinet Muhyiddin, orang yang sama dilantik walaupun mereka masa dengan Muhyiddin yang tidak menunjukkan kejayaan. Tetapi orang yang tidak berjaya ini, dilantik semula.

“Malah, ada tambah pula orang-orang yang macam Datuk Seri Shahidan Kassim dan yang lain, mereka itu cakap bolehlah.
“Tetapi kalau ingin buat kerja... saya dapati bahawa tiada tekanan berkenaan dengan bagaimana untuk mengurangkan kes-kes COVID-19 ini," kata Dr Mahathir dalam rakaman audio kepada Astro AWANI.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian sebagai mengulas susunan Kabinet baharu seperti diumumkan Perdana Menteri, Ismail Sabri pada Jumaat pagi.

Dalam masa sama, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu turut mendakwa, mereka yang dilantik menyertai Jemaah Kabinet seolah-olah tidak mempunyai fokus dalam memikirkan kes harian yang semakin bertambah, sebaliknya hanya bercakap mengenai politik.

“Kes harian COVID-19 ini makin bertambah, tetapi mereka pula sibuk bercakap pasal politik, pasal kena ada kerjasama kononnnya dengan parti lawan dan macam-macam.

“Semuanya political, berkenaan dengan masalah rakyat, menderita mati begitu ramai tidak nampak satu pun tindakan diambil atau pun diberi perhatian.

“Jadi, saya kecewa dengan keadaan ini kerana tiada perubahan daripada di bawah Muhyiddin dahulu, sama sahaja,” jelas beliau lagi.

Terdahulu, Ismail Sabri menegaskan, barisan Kabinet baharu itu akan dipastikan kekal komited dalam menjayakan agenda negara melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Beliau dalam perutusan ‘Pembentukan Kabinet’ berkata, barisan Jemaah Menteri tersebut dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman serta diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi.

Menurut Ismail Sabri lagi, Kabinet baharu itu juga perlu berorientasikan hasil berlandaskan tiga prinsip – peka dengan keperluan semasa; bertanggungjawab dan beramanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat.

Dalam masa sama, Ismail Sabri menegaskan, beliau secara peribadi akan memastikan Kabinet tersebut menekan budaya kerja berprestasi tinggi.

“Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, pelantikan Kabinet di bawah pentadbirannya akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan COVID-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik tersebut.

Sumber | Awani

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo