Responsive Ad Slot

Petugas PPV UniSZA, penerima vaksin pamer semangat kemerdekaan


KUALA NERUS, 31 Ogos - Para petugas kesihatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini mengadakan sambutan secara sederhana bagi mempamerkan semangat kemerdekaan dan rasa cinta kepada negara.

Pengurus PPV, Dr. Ras Azira Ramli berkata, semangat kemerdekaan tetap dipamerkan walaupun negera masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19 ketika ini.

"Pada kali ini, kita menyambut Hari Kemerdekaan dalam suasana pandemik bersama para penerima vaksin.

"Di antara mereka datang dengan membawa bendera dan mempamerkan bendera di pelitup muka dan sebagainya. Jadi semangat itu masih dirasai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan tersebut di PPV UniSZA, hari ini.

Tambahnya, inilah semangat yang dapat ditunjukkan sebagai barisan hadapan pada masa ini untuk berjuang memerdekakan negara dari pandemik Covid-19.

Dalam acara berkenaan, nyanyian lagu negaraku dan lagu Jalur Gemilang serta agihan bendera kebangsaan kepada penerima vaksin turut diadakan.

Selain itu, para petugas PPV turut memakai pakaian bertemakan semangat kemerdekaan.

Dalam pada itu, penyelaras PPV berkenaan, Dr. Mohamad Ikmal Saharmi menyifatkan, semangat kemerdekaan ini perlu ditanam dalam diri individu selaras suasana pada masa kini.

"Biarpun suasana kerja Merdeka tahun ini dalam kekangan pandemik, kami petugas kesihatan tidak kira waktu, sedia berkhidmat.

"Bagi merdeka kali ini, kita perlu merdekakan diri kita dari Covid-19 terlebih dahulu, jadi patuhilah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan," katanya.

Hari ini, PPV UniSZA menerima kehadiran 814 penerima vaksin dos kedua dan sebahagian kecil baki penerima dos pertama yang tercicir di kawasan Kuala Nerus.

https://www.trdi.my/petugas-ppv-unisza-penerima-vaksin-pamer-semangat-kemerdekaan

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo