NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Debat di Parlimen perlu beradab, bersolidariti tangani pandemik

Perdebatan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat menarik perhatian ramai. Selepas lama menunggu peluang untuk masuk Parlimen dan berdebat, Ahli Parlimen mula mempamerkan watak sebenar masing-masing.
Walaupun dibekalkan tertib perjalanan mesyuarat di dewan mulia, ada gelagat Ahli Parlimen seperti tidak sabar kerana mahu supaya hujah didengari dan diberikan perhatian.

Adegan menjerit-jerit apatah lagi menggunakan bahasa kesat kepada lawan sedikit sebanyak mencalar kemuliaan diri dan dewan. Lebih-lebih lagi adegan berkenaan ditonton secara langsung pelbagai lapisan khalayak dengan bantuan media sosial.

Apakah Islam mengajar kaedah berdebat? Dalam surah al-Nahl ayat 125, Allah SWT berfirman: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara lebih baik."

Berdebat dibenarkan dalam ajaran Islam bertujuan mencapai kebenaran. Dalam perkara bersifat ijtihad, lebih-lebih lagi dalam konteks Ahli Parlimen sebagai pembuat undang-undang memang digalakkan supaya dilakukan perdebatan.

Hasilnya nanti undang-undang dipersetujui yang kemudian diterjemahkan dalam bentuk polisi untuk kemaslahatan rakyat. Cuma harus diingat, kaedahnya mesti dilakukan dengan 'cara lebih baik.'

Hakikatnya, cara 'lebih baik' adalah gambaran tamadun negara. Justeru, perdebatan di Dewan Rakyat mesti mempamerkan nilai tamadun tinggi.

Pertama, Ahli Parlimen perlu mengikut peraturan. Kita diajar mengikut tertib menjadi rukun kepada setiap perlakuan dan tindakan. Perdebatan menunjukkan petanda kepada kekayaan idea, kelapangan dada dan ketinggian ufuk minda untuk mencari kebenaran dalam sesuatu isu.

Hakikat yang perlu diterima, ada kebenaran (haq) dalam perkara ijtihad bersifat berbilang-bilang. Boleh jadi kebenaran itu ada satu, dua atau lebih. Bergantung kepada sudut sesuatu isu itu dilihat dan siapa pula melihatnya.

Di pihak pelaksana, mereka mempunyai tanggungjawab mencerna setiap fakta, mempertimbang implikasi baik buruk terhadap rakyat keseluruhan dan kemampuan jentera pelaksana melaksanakan keputusan dengan cara terbaik dan efisien.

Di pihak yang membangkang pula, mereka perlu bersifat konstruktif, mencadangkan pembaikan dan sudah tentu dengan fakta bukan emosi.

Kedua, perdebatan bukan untuk kepentingan diri atau kelompok. Isu pandemik COVID-19 adalah isu besar melanda seluruh dunia. Ia bukan sahaja mendatangkan krisis kepada aspek kesihatan, bahkan sektor ekonomi dan seluruh sistem kesejahteraan hidup.

Isunya menjadi lebih kompleks kerana sifat virus bermutasi dan kaedah pencegahan mengambil masa lama. Kebimbangan seluruh lapisan masyarakat menyebabkan perdebatan isu ini sangat memerlukan keikhlasan dalam mengemukakan fakta, sekali gus mencari penyelesaian dipersetujui bersama.

Ketiga, adab atau akhlak berdebat dalam keadaan berhadapan krisis menjadi perkara sangat utama. Ahli Parlimen memimpin kita pada saat krisis perlu mempamerkan sifat tenang dan berupaya mengawal api kemarahan ketika berdebat.

Sebarang bentuk provokasi, penggunaan bahasa kesat, label-melabel dengan gelaran buruk dan sindir-menyindir tidak akan menghasilkan natijah baik daripada perdebatan. Malah, ia boleh memutuskan sifat persaudaraan dan meruntuhkan elemen kasih sayang yang masih perlu ditegakkan ketika berlaku perdebatan.

Pendekatan 'troll' terutama melalui media sosial kepada pihak lawan digunakan sebahagian pembuat undang-undang menampakkan nilai kekurangan adab. Troll bukan kaedah diajar dalam Islam dan bukan sifat terpuji, tetapi sangat tercela.

Keempat dan yang terpenting adalah niat pendebat. Niat supaya penyelesaian dalam masalah COVID-19 dapat dicapai dan mendatangkan kebaikan kepada masyarakat perlu ditanam kukuh dalam diri setiap pendebat.

Walaupun niat sebenar sukar diukur, perlu ditegaskan pertuturan dan hujah ketika berdebat boleh ditafsir khalayak. Justeru, tidak sepatutnya ada usaha memanipulasi fakta dan emosi untuk tujuan kepentingan peribadi atau kelompok.

Perdebatan terpuji memerlukan kedua-dua pihak boleh saling menerima hujah yang objektifnya adalah untuk kebaikan masyarakat.

Memang Allah SWT mencipta kita dengan kepelbagaian latar belakang. Kita saling berbeza dari segi tahap pendidikan, status ekonomi dan sosial serta pandangan terhadap sesuatu isu.

Bagaimanapun, perbezaan bukan punca kelemahan tetapi perlu dijadikan kekuatan. Kita mengharungi perbezaan selama lebih 60 tahun sejak merdeka dengan krisis demi krisis.

Krisis COVID-19 mengajar kita terus bersolidariti dan mencari penyelesaian bersama. Kerumitan pandemik sepatutnya menjadikan kita lebih terbuka dan menjauhi taksub kerana ia bukan penyelesaian terbaik.

Jadikanlah medan perdebatan di dewan mulia sebagai medan perdebatan terpuji, dituntut akal dan diwajibkan iman.

Prof Datuk Dr Zulkiple Abd Ghani
Penulis adalah Timbalan Pengerusi, Jamaah Profesor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Sumber - BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo